Monday, February 22, 2010

tentang... apa yang sedang saya sibukkan sekarang

Okey, seperti selalu saya akan minta maaf kerana lama menyepikan diri. :P
Saya juga akan ulang alasan yang sama, saya memang tidak tahu mahu tulis entri berkenaan apa melainkan hal buku. Sebab itulah saya lebih banyak menyepikan diri kerana saya tidak ada apa-apa yang mahu diceritakan (memandangkan saya bukannya aktif sangat menulis buku).

Baiklah, mengapa akhirnya saya menulis entri ini. Ya, saya ingin berkongsi perasaan sedih. Sedih? Mengapa?

Saya sedang menyiapkan My Memory. Ya, akhirnya saya sudah dikurniakan idea dan kerajinan. Buat pengetahuan semua, My Memory adalah sambungan My Secret dan juga penutup siri My.

Ya, dan sekali lagi, saya ulang, buat pengetahuan semua, siri My akan ditamatkan dengan My Memory. Ini adalah sesuatu yang pasti. Saya sudah membuat keputusan. Oh, jangan bimbang, bukannya saya mahu berhenti menulis. Cuma, bukan siri MY. Itu sahaja. :)

Jadi saya bersedih kerana dua sebab. Satunya kerana mahu mengucapkan selamat tinggal kepada siri My. Kedua, kerana kisah My Memory agak sedih. Hendak tahu apa yang sedih di dalam cerita ini? Hehehe.... harap bersabar ya. Ada beberapa bulan (banyak bulan) lagi, sebelum buku ini berada di kedai-kedai buku.

Okey, walaupun siri My akan ditamatkan, My Memory bukanlah penutup kisah Adilah.
Mengapa?
Hehehe...
Okey, izinkan saya berkongsi sedikit perancangan (perancangan sahaja, ia akan mengambil masa yang sangat lama sebelum menjadi kenyataan!)

Sebuah novel dengan tajuk sementara Adilah Cik Serba Tahu akan menjadi penutup untuk kisah Adilah dan kawan-kawannya. Hendak tahu lebih lanjut? Saya akan kongsi selepas My Memory siap dan ketika saya mula menyiapkan manuskrip itu pula, ya!


Oh ya, harap bersabar. Saya perlu siapkan My Memory dahulu. Kamilah Kembar Diraja, iaitu sambungan Sayalah Putera Mahkota hanya akan mula ditulis selepas My Memory berada di kedai buku.

Oh, tolong doakan saya ya sebab saya sangat tamak. Banyak mahu ditulis tetapi sikap malas saya nampaknya mendominan dalam diri. Huhu! Ya, ditambah pula saya sibuk, kerja saya banyak. Hahaha... jangan percaya pada cakap pemalas seperti saya. :P

Okey, memandangkan saya terlebih excited dan rasa bersalah kerana tidak update blog, maka dengan ini saya sertakan sedutan My Memory yang kini baru siap 30% (heh? 30% sahaja? Huhu, jauh lagi. Doakan saya!)


Assalamualaikum,” sapa ketua pelajar itu.
“Wa’alaikumussalam. Ada apa awak mahu jumpa saya? Saya tidak sangka awak tergamak mengugut pelajar itu.” Adilah mencemik. Dia mengulang soalannya selepas menjawab salam yang diberikan. Sudahlah semalam dia bermimpi ngeri dan tidak cukup tidur. Malah kepalanya sakit. Kini, terpaksa pula menghadap Hakim. Entah apa mahunya. Janganlah mahu membebel panjang dengan kata-kata nasihat. Oh, memanglah bagus diberikan nasihat, tetapi untuk hari ini, Adilah memang tidak mampu menadah telinga. Terlalu banyak yang perlu difikirkannya.
Hakim tersenyum dan kemudiannya bersuara, “Sekiranya ya pun, duduklah dahulu. Mengapa serius sangat? Tidak suka jumpa saya? Saya main-main sahajalah. Bukannya saya akan apa-apakan dia pun.”
Adilah mencemik lagi. Pantas dia mengambil tempat bertentang dengan Hakim. Sebaik sahaja dia duduk, Hakim menyuakan sepinggan nasi lemak. “Sambal dan timun lebih. Harap menepati selera awak,” kata Hakim yang terus tersenyum.
Adilah merenung Hakim. Dia hilang kata-kata. Tidak menyangka yang Hakim akan melakukan yang sama dengan aktiviti mereka bertahun-tahun yang lalu.
“Mengapa diam? Awak sudah ubah selera?” Hakim bertanya.
Adilah tersenyum, lalu bersuara perlahan, “Awak masih ingat?”
Hakim tergelak kecil. “Bukankah saya sudah kata, saya ingat. Banyak perkara berkaitan awak saya sentiasa ingat. Saya tidak mungkin lupakan awak.”
Oh, Adilah rasa air matanya akan menderu, harus banjir seluruh kantin sekiranya Hakim tidak berhenti berkata-kata. Tiba-tiba sahaja dia rasa terusik dengan kenangan lama itu. Ya, kenangan yang sentiasa ada dalam ingatannya. Kawan adalah memorinya. Hakim adalam kawan baiknya. Maka, memori bersama Hakim adalah kenangan terindah. Eh nanti. Apabila difikir kali kedua, melampau pula kenyataan itu. Tidaklah sehebat itu Hakim dalam hatinya. Ish, ini boleh menimbulkan salah faham kepada orang yang tidak tahu sejarah persahabatan mereka! Tidak sesuai betul!