Sunday, June 6, 2010

Sedang ditulis....

Zara menggeliat. Dia tersenyum. Biasanya bangun pagi adalah perkara yang sukar dilakukannya tetapi hari ini ternyata berbeza. Dayang Aina belum pun muncul di dalam biliknya bagi menggerakkan kakinya, matanya sudah terbuka luas. Tidak perlulah si dayang berusaha keras memujuk si puteri. Terselamatlah si dayang daripada menghadapi masalah bagi memastikan si puteri tidak terlewat daripada mengikuti rutin di dalam istana iaitu solat subuh berjemaah, kuliah pagi dan joging bersama sebelum sarapan pagi.
“Selamat pagi, Puteri Zara!” Zara bersorak riang lalu bangkit dari katil. Dia mahu segera ke bilik air. Sepanjang tinggal di dalam Istana Mawarni, inilah pagi yang paling indah. Mengapa? Tentulah kerana keluarganya sudah bersatu, tinggal sebumbung. Oh, bukan itu sahaja sebabnya. Ada sebab lain. Sebab yang berkait dengan insiden semalam.
Ya, Zara sudah tidak sabar mahu menatap surat khabar. Tentu beritanya di muka pertama. Adakah gambarnya dimuatkan? Tetapi semalam, dia tidak sempat bergaya di hadapan lensa para jurugambar syarikat penerbitan. Jadi, bagaimana? Oh, satu kerugian besar!
Sambil memberus gigi, Zara bergaya di hadapan cermin. Fikirannya ligat berputar. Bagaimana agaknya gaya yang paling anggun? Oh, dia perlu ada gaya tersendiri. Barulah ada identiti. Barulah dia kukuh dalam ingatan rakyat jelata.
“Saya Puteri Zara,” luah Zara sambil menggayakan mimik muka orang popular berucap di hadapan kamera. Dia menegakkan badan, dagu sengaja ditinggikan, matanya sengaja dikuyukan. Alamak, tidak sesuai pula. Nanti orang kata berlagak pula. Gaya menggoda pun ada juga. Tentu dia akan menerima kritikan hebat pula nanti.
“Berita yang tuan puan dengar itu memang betul. Saya adalah puteri raja Armani. Puteri Zara Raja Muhammad. Saya juga adalah kakak kembar Putera Mahkota Adam. Kamilah Kembar Diraja!” Zara terus berlatih di hadapan cermin bilik airnya. Dia yakin, langkah seterusnya adalah ditemu bual. Oh, dia perlu sediakan draf ucapannya. Ya, ucapan pertamanya sebagai puteri raja perlulah menarik, tidak membosankan dan menyentuh hati semua yang mendengar. Puteri Zara perlu tampil hebat, elegan dan menawan!
Zara terus hanyut dalam khayalannya sendiri sehingga tidak sedar masa yang berlalu. Ketukan di pintu mengejutkan Zara.
“Puteri, cepatlah.” Kedengaran suara Dayang Aina di sebalik daun pintu.
Alamak, waktu solat berjemaah sudah tiba! Zara dengan pantas mandi ala kadar. Bangun awal pun, dia tetap lewat kerana sibuk berkhayal sampaikan tidak sedar masa berlalu. Hakikatnya sudah tiga puluh lapan minit dan lima puluh lapan saat Zara berkurung di dalam bilik air.
Zara oh Zara. Bilalah agaknya si puteri ini akan berhenti berkhayal?




Mahu tahu kesudahan kisah Puteri Zara? Mahu tahu siapakah yang menjadi pewaris takhta? Apa lagi, berdoalah semoga saya dikurniakan kerajinan, tenaga, masa dan idea yang melimpah ruah bagi menyiapkan penutup siri diraja ini. Terima kasih semua! :)

Friday, June 4, 2010

tentang cuti sekolah dan buku....

Wah, pejam celik, cuti sekolah akan bermula! Rasanya sudah tamat peperiksaan pertengahan tahun, bukan? Semoga dapat keputusan yang baik ya.

Anak buah saya ada peperiksaan PJ petang ini sebelum cuti bermula. Hmm... saya sudah lupa bagaimana exam PJ semasa tingkatan satu. Bagaimana ya?

Yang tadika, darjah dua dan darjah lima pula ada jamuan hari ini. Wah, seronok juga ya sekolah. Hehehe... ini ayat orang tua yang sudah lama (sangat-sangat) meninggalkan alam persekolahan.

Jadi, apa rancangan cuti sekolah? Harapnya buku-buku PTS One termasuk dalam rancangan kawan-kawan semua.

Oh, lupa pula. Esok petang saya dan rakan-rakan penulis Kisah Si Puteri akan berada di Mines (Read Malaysia) pada pukul 2-4 petang. Ada banyak aktiviti menarik. Mahu tahu lebih lanjut? Bukalah PTS One ataupun laman web PTS One ya.


Datanglah beramai-ramai, memeriahkan majlis. Hehehe...

SELAMAT BERCUTI DAN MEMBACA BUKU PTS ONE (dan buku saya juga. Hehe)!

p/s: Sudah baca My Memory? Apa komen saudara saudari?