Showing posts with label siri sayalah.... Show all posts
Showing posts with label siri sayalah.... Show all posts

Wednesday, September 29, 2010

Di Pasaran November 2010

Kisah ini bermula di negara kecil yang terletak antara Malaysia dan Brunei. Armani nama diberi. Di negara ini, sepasang suami isteri sepakat berpisah dan menjalani hidup sendiri. Si isteri mengimpikan kehidupan sederhana, jauh daripada kongkongan protokol dan glamor keluarga diraja. Manakala si suami terikat dengan amanah yang tergalas di bahu. Keharmonian Armani bergantung kepada kebijaksanaannya mentadbir kerajaan.
Perpisahan ini juga menyebabkan sepasang kembar dibesarkan di dua negara berbeza. Sangka mereka, mereka adalah anak tunggal. Si kakak membesar sebagai remaja biasa yang sering berangan-angan dia adalah anak raja. Manakala si adik lelaki pula dididik sebagai pewaris takhta.
Perpisahan yang menjangkau lima belas tahun itu berakhir dengan kisah gembira. Hubungan yang terlerai kembali terjalin. Si ayah membawa si adik ke negara jiran demi menyatukan dua kembar. Terbongkar rahsia tersemat rapi selama ini lalu ikatan sepasang kembar terjalin kembali. Zara terlalu seronok kerana impiannya jadi realiti. Bersorak dia meluahkan kata-kata keramat itu. “Sayalah Puteri Raja!”

Dengan hati berbunga riang, berangkatlah Zara si puteri raja bersama ayahanda tercinta kembali ke Istana Mawarni. Tinggallah Adam si putera mahkota bersama bonda tercinta di Bandar Baru Bangi. Niat di hati si kembar, mereka mahu bersatu di istana dan hidup aman damai. Namun itu bukan penamat kisah mereka. Siapa kata hidup sebagai puteri raja gembira selalu? Adam berubah hati. Enggan kembali ke istana dan memikul amanah sebagai pewaris takhta. Zara yang menanti dengan harapan menggunung terluka. Istana jadi kecoh. Siapa pula pengganti Adam si putera mahkota? Zara enggan terima keputusan Adam. Tidak sesekali dia mahu berlapang dada membiarkan kedudukan Adam jatuh ke tangan orang lain. Baginya, hanya Adam yang layak mengungkapkan kata-kata keramat itu.
“Sayalah Putera Mahkota!”

Kedudukan sebagai putera mahkota merangkap pewaris takhta adalah amanah. Adam akur dengan takdir diri lalu kembali ke istana bersama bonda tercinta. Bersatulah keluarga diraja dengan harapan mahu menjalani hidup bahagia dan berusaha mentadbir Armani. Namun ada yang mahu mencelah. Mengaku merekalah kembar diraja sebenar. Zara dan Adam berkongsi tekad. Hanya mereka yang layak mengungkapkan kata-kata keramat itu.
“Kamilah Kembar Diraja!”

Kisah Puteri Zara dan Putera Adam terangkum dalam tiga ceritera. Inilah kisah penamat kembar diraja. Semoga tiada duka di hujung cerita.

Sunday, June 6, 2010

Sedang ditulis....

Zara menggeliat. Dia tersenyum. Biasanya bangun pagi adalah perkara yang sukar dilakukannya tetapi hari ini ternyata berbeza. Dayang Aina belum pun muncul di dalam biliknya bagi menggerakkan kakinya, matanya sudah terbuka luas. Tidak perlulah si dayang berusaha keras memujuk si puteri. Terselamatlah si dayang daripada menghadapi masalah bagi memastikan si puteri tidak terlewat daripada mengikuti rutin di dalam istana iaitu solat subuh berjemaah, kuliah pagi dan joging bersama sebelum sarapan pagi.
“Selamat pagi, Puteri Zara!” Zara bersorak riang lalu bangkit dari katil. Dia mahu segera ke bilik air. Sepanjang tinggal di dalam Istana Mawarni, inilah pagi yang paling indah. Mengapa? Tentulah kerana keluarganya sudah bersatu, tinggal sebumbung. Oh, bukan itu sahaja sebabnya. Ada sebab lain. Sebab yang berkait dengan insiden semalam.
Ya, Zara sudah tidak sabar mahu menatap surat khabar. Tentu beritanya di muka pertama. Adakah gambarnya dimuatkan? Tetapi semalam, dia tidak sempat bergaya di hadapan lensa para jurugambar syarikat penerbitan. Jadi, bagaimana? Oh, satu kerugian besar!
Sambil memberus gigi, Zara bergaya di hadapan cermin. Fikirannya ligat berputar. Bagaimana agaknya gaya yang paling anggun? Oh, dia perlu ada gaya tersendiri. Barulah ada identiti. Barulah dia kukuh dalam ingatan rakyat jelata.
“Saya Puteri Zara,” luah Zara sambil menggayakan mimik muka orang popular berucap di hadapan kamera. Dia menegakkan badan, dagu sengaja ditinggikan, matanya sengaja dikuyukan. Alamak, tidak sesuai pula. Nanti orang kata berlagak pula. Gaya menggoda pun ada juga. Tentu dia akan menerima kritikan hebat pula nanti.
“Berita yang tuan puan dengar itu memang betul. Saya adalah puteri raja Armani. Puteri Zara Raja Muhammad. Saya juga adalah kakak kembar Putera Mahkota Adam. Kamilah Kembar Diraja!” Zara terus berlatih di hadapan cermin bilik airnya. Dia yakin, langkah seterusnya adalah ditemu bual. Oh, dia perlu sediakan draf ucapannya. Ya, ucapan pertamanya sebagai puteri raja perlulah menarik, tidak membosankan dan menyentuh hati semua yang mendengar. Puteri Zara perlu tampil hebat, elegan dan menawan!
Zara terus hanyut dalam khayalannya sendiri sehingga tidak sedar masa yang berlalu. Ketukan di pintu mengejutkan Zara.
“Puteri, cepatlah.” Kedengaran suara Dayang Aina di sebalik daun pintu.
Alamak, waktu solat berjemaah sudah tiba! Zara dengan pantas mandi ala kadar. Bangun awal pun, dia tetap lewat kerana sibuk berkhayal sampaikan tidak sedar masa berlalu. Hakikatnya sudah tiga puluh lapan minit dan lima puluh lapan saat Zara berkurung di dalam bilik air.
Zara oh Zara. Bilalah agaknya si puteri ini akan berhenti berkhayal?




Mahu tahu kesudahan kisah Puteri Zara? Mahu tahu siapakah yang menjadi pewaris takhta? Apa lagi, berdoalah semoga saya dikurniakan kerajinan, tenaga, masa dan idea yang melimpah ruah bagi menyiapkan penutup siri diraja ini. Terima kasih semua! :)

Thursday, December 17, 2009

Hadiah Untuk Si Dia....

Salam semua.
Minta maaf sebab sangat lambat buat pengumuman ini. Saya tidak ada idea mahu tulis bagaimana.

Okey, pengumuman penting buat pemilik blog wawawannabe.blogspot.com
Sila tinggalkan nama dan alamat surat-menyurat di entri ini mahupun di chatbox mahupun di e-mel saya. Mengapa? Sebab saya tiba-tiba rasa mahu berikan buku Sayalah Putera Mahkota! kepada saudai. Mengapa? Saja, suka-suka. :P

Oh, kepada yang lain, jangan terasa hati okey. Saya ada tiga lagi buku Sayalah Putera Mahkota yang mahu diberikan kepada yang bertuah (eh, bertuah ke? :P)

Jadi, siapa cepat dia dapat. Bagaimana caranya? Tiga yang terawal memberi jawapan yang betul dengan meninggalkan komen pada entri ini adalah pemenang.

Soalannya:
1. Berikan nama dua watak baru yang muncul dalam SPM yang tiada dalam SPR.
2. Apakah nama sebenar Munir bin Isa dan apa hubungan dia dengan Adam?
3. Siapakah sebenarnya Adam?

Tip: Jawapan ada dalam entri terdahulu mahupun dalam novel SPR. Selamat menjawab! Lalalala~

Harapnya ada yang sudi jawab ye. :)

Friday, November 13, 2009

tentang terbaharu daripada saya!

Saya sedang tersenyum. Ya! Sangat gembira. Rasa mahu melompat ke langit. Lalala~
Mengapa? Sebabnya... jeng jeng jeng...
Mempersembahkan...



Ya, dengan bangganya diumumkan ini adalah buku kedua; sambungan Sayalah Puteri Raja! Tentunya ia sambungan kisah Zara dan Adam. Zara kembali ke istana sebagai puteri raja. Ulang suara, puteri raja. Adam pula berjanji akan menyusul kemudian bersama ibu mereka, Puan Kamalia.
Gembirakah Zara tinggal di dalam istana di negara Armani? Bagaimana pula dengan Adam di Bandar Baru Bangi?
Adakah mereka sekeluarga akan bersatu? Di mana mereka akan bersatu?
Eh, nanti! Zara perlu tinggalkan istana? Mengapa pula? Di mana sebenarnya rumah Zara? Di Bandar Baru Bangi ataupun di Armani? Tidak! Zara tidak rela tinggalkan istana!
Dan siapa pula Tengku Muiz dan Tengku Mira?

Oh, banyaknya perkara yang Zara perlu tempuh!

Mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku? Hehe... jangan lupa dapatkan di kedai-kedai buku pada bulan 12 nanti okey. Sekarang, buku ini dalam proses cetakan. Tunggu ya, kawan-kawan semua!
Lalala~

Friday, June 26, 2009

tentang... Sayalah Putera Mahkota!

Hai semua. Seperti selalu, sesekali apabila rasa sudah terlalu lama membiarkan blog ini sepi, saya rasakan, ish tidak bolh jadi! Saya perlu update blog! Tetapi mahu tulis apa? Hmm... kebetulan saya sekarang dalam mood kembali menjadi puteri raja. Hehehe... Jadi, ya, dengan rasa teruja yang amat sangat, maka di sini saya paparkan sedikit sedutan manuskrip Sayalah Putera Mahkota! yang baru satu muka surat ditulis! :P

Sebenarnya ini sedutan penghujung. Hehehe... tidak ada idea mahu tulis yang awal, jadi saya mulakan dengan bahagian akhir. Selamat membaca. :)


Zara berdiri menghadap tingkap. Saat yang paling ditakutinya kian hampir. Bayang yang ditunggu tidak juga kunjung tiba. Dada Zara sudah turun naik. Matanya sudah berkaca. Aduhai, kurang sepuluh minit, mimpinya akan bercerai. Angan-angan yang jadi kenyataan kini akan jadi cerita yang tidak kesampaian. Semuanya sebab Adam!
Zara rasa mahu tumbuk muka Adam. Mahu ketuk kepala Adam. Mentang-mentang sudah berbelas tahun merasa jadi putera raja, kini tiba-tiba rasa bosan pula. Tidakkah Adam sedar kebosanannya itu menyusahkan hidup Zara? Dia bosan, dia tidak mahu tinggal di dalam istana, itu masalah dia! Walaupun tinggal di sini bukanlah indah seperti dalam mimpi, tetapi Zara tetap mahu bertahan! Zara mahu tunjukkan pada nenda dia layak kekal di dalam istana. Dia Puteri Zara okey! Tetapi malangnya dia tidak ada kuasa. Hanya gelaran. Oh, alangkah malangnya nasib si puteri raja!


Nantikan kemunculan Sayalah Putera Mahkota! Bila? Errkk.... tidak pasti lagi. Yang pasti ia akan muncul. :P

Friday, June 5, 2009

tentang... siri sayalah....

Saya mulakan entri ini dengan ucapan selamat pagi dan selamat menikmati cuti sekolah. Dua minggu, bukan? :) Kepada kawan-kawan, gunakan masa cuti ini dengan berfaedah okey. :)

Baiklah, memandangkan ada beberapa orang bertanya tentang SPR, betulkah ada siri 2, berapa jumlah sebenarnya siri ini dan bila ia akan terbit, makanya saya dengan ini akan membuka sedikit rahsia. Jeng... jeng... jeng.... :P

Mengikut perancangan saya, ada 3 siri untuk kisah Zara dan Adam.
1. Sayalah Puteri Raja! (sudah terbit)
2. Sayalah Putera Mahkota! (dijangka terbit tahun depan)
3. Kamilah Kembar Diraja! (dijangka terbit tahun depan ataupun tahun seterusnya)

Sama ada hanya akan ada 3 siri ini ataupun akan ada sambungan seterusnya, bergantung kepada petunjuk dari langit. :)

Saya harap jawapan saya ini memuaskan hati kawan-kawan yang bertanya. Okey? :)

Baiklah, jumpa di lain masa. Selamat untuk semua perkara yang kawan-kawan lakukan. :)