Friday, December 9, 2011

Sedang menulis...

Hai kawan-kawan! Wah, lama sungguh saya tidak mengemas kini entri di blog ini. Sudah berhabuk. Maklumlah, saya tidak ada cerita baru mahu dikongsikan.

Tetapi hari ini... jeng... jeng... jeng...

Sekadar mahu berkongsi sedikit (memang baru tulis banyk ini sahaja pun!) kisah daripada manuskrip baru yang sedang ditulis.

Hari yang tenang. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Zara duduk sendirian di taman diraja. Berusaha menikmati pemandangan indah ciptaan Tuhan. Sayang seribu kali sayang, tidak terasa pula damai itu dalam hatinya. Mengapa, ya?
Bagaimanalah hati si puteri mahu tenang pada saat seluruh hidupnya akan berubah. Tiga hari sudah berlalu sejak Zara dengan terburu-buru dan tanpa berfikir panjang meluahkan kata-kata yang sangat dikesalinya. Aduhai! Sudah beribu kali, mungkin juga beratus ribu kali Zara memarahi dirinya sendiri. Mengapa, mengapa, dan mengapa sampai terlepas kata? Mengapa!
Tiada guna mempersoalkannya lagi. Menyalahkan diri berjuta kali pun, nasi sudah jadi bubur. Terlajak perahu dapat diundur, terlajak kata, inilah jawabnya. Selamat tinggal kehidupan senang-lenang di dalam istana. Selamat tinggal kehidupan penuh glamor sebagai puteri raja! Selamat tinggal semuanya!
Zara menekup mukanya. Puting beliung sedang menyerang hatinya. Juga fikirannya. Sakit kepala dibuat. Meraung, menangis air mata mungkin akan merubah semuanya. Masalah, jatuhlah standard Zara nanti! Oh, bagaimana mahu mengubah keadaan tanpa buat dia malu sendiri? Zara hilang punca. Ada sesiapa yang dapat bantu?
Masa terus berlalu. Sedetik demi sedetik.
Tidak! Dia berharap masa berhenti. Biar semuanya membeku. Dia mahu keadaan kekal begini sahaja. Sesungguhnya Puteri Zara Binti Raja Muhammad tidak bersedia kehilangan segala-galanya! Dia tidak rela sama sekali!



Doakan saya supaya dikurniakan idea yang mencurah-curah dan kerajinan tahap maksimum ya! Terima kasih semua!

Sunday, May 1, 2011

Dapatkan naskhah untuk koleksi peribadi sebelum habis terjual!




Untuk Si Gadis adalah majalah pertama terbitan PTS One. Isu pertama bertemakan Wah Cantiknya Awak! Majalah ini adalah terhasil daripada gabungan empat orang penulis termasuklah saya. Setiap keluaran tidak akan diulang cetak. Dapatkan isu pertama dan jadilah pengumpul setia majalah ini!

Wednesday, April 27, 2011

Sudah terbit.



Tengku Leah mahu popular. Seperti ataupun lebih daripada Tengku Mira. Ikuti catatan hati Tengku Leah. Perlukah dia menjadi popular? Benarkah menjadi popular itu tersangatlah penting?

Dapatkan di pasaran.

Sunday, April 3, 2011

Adilah Cik Serba Tahu

Salam untuk semua pembaca budiman. Saya sangat teruja hari ini kerana akhirnya saya dapat juga memaparkan cover Adilah Cik Serba Tahu di blog ini.







Buat yang tidak tahu, kisah Adilah Arifin bermula dalam siri My, iaitu My Angel, My Hero, My Secret dan akhir sekali My Memory. Empat siri My ini memaparkan kisah Adilah Arifin ketika bersekolah rendah dan menengah.

Kini, dua belas tahun sudah berlalu, Adilah Arifin bukan lagi remaja yang naif, tidak berkeyakinan dan errr... pemalas. Adilah Arifin kini sudah dewasa dan bekerja sebagai wartawan dan kolumnis. Mahu tahu lebih lanjut tentang Adilah Arifin? Dapatkan Adilah Cik Serba Tahu yang akan berada di pasaran sekitar pertengahan ataupun hujung April.

Adilah Cik Serba Tahu adalah kisah penutup untuk kisah Adilah Arifin. Jadi, jangan ketinggalan!

Bagi yang tidak mengikuti siri My pun, tidak ada masalah untuk membaca Adilah Cik Serba Tahu sebab ia tetap boleh difahami dan buku yang berdiri sendiri. Jadi jangan ragu-ragu. Silakan membaca, semoga kisah ini disukai ramai.

Selamat mengejar pelangi!

Friday, February 18, 2011

Akhirnya!

Saya sungguh teruja. Serius. Rasa mahu melompat ke langit, namun saya hanya mampu sujud syukur.

Terima kasih, Tuhan.

Okey, saya bukan sahaja teruja, malah bermacam-macam rasa memenuhi jiwa raga saya saat ini. Semuanya bermula pada tahun 2006.

Saya menghantar kertas cadangan kepada PTS One untuk menulis Cik Serba Tahu. Cadangan diterima namun, saya gagal menyiapkannya.

Pada tahun 2009, saya merasakan sudah tiba masanya mengucapkan selamat tinggal kepada Adilah Arifin. Yalah, tanpa perpisahan tidak akan ada pertemuan baru, bukan?
Saya mahu berkenalan dan bermesra dengan watak lain pula.

Penutup bagaimana yang patut saya tulis untuk kisah Adilah?

Berfikir dan berfikir, saya memutuskan menggabungkan Adilah dengan Cik Serba Tahu lalu kertas cadangan baru pun dihantar. Adilah Cik Serba Tahu akan menjadi penebus kegagalan dahulu dan penutup kisah Adilah Arifin.

Tahun 2010 sepatutnya novel itu berada di pasaran. Masalahnya sekali lagi saya gagal menyiapkannnya.

Tahun berganti. Kali ini saya tidak mahu tewas lagi.

Dengan ini diumumkan Adilah Cik Serba Tahu sudah siap ditulis. Alhamdulillah. Saya akan menggunakan dua hari ini untuk menyemak semula tulisan saya dan menghantarnya kepada editor pada hari Isnin.

Tahun lepas, saya pernah hantar sebahagian cerita untuk dikomen, syukur, tidak ada masalah. Harapnya manuskrip penuh ini diterima oleh editor. Kalau perlu buat pembetulan pun yang ringan-ringan sahaja. Huhu.

Harapan saya, semoga Adilah Cik Serba Tahu berada di pasaran untuk menunaikan janji saya kepada pembaca.

Saya sangat bimbang novel ini kelak tidak mencapai jangkaan pembaca. Saya bimbang novel ini kelak tidak diterima baik. Namun, buat masa ini saya hanya mahu bergembira kerana sudah siap menulisnya. Nanti, apabila sudah berada di pasaran, barulah fikir hal lain-lain pula.

Doakan saya!

Saturday, February 12, 2011

Akan berada di pasaran... err tidak tahu bulan berapa, Tunggu!

Salam. Sebenarnya saya tidak mahu hebahkan dahulu, namun saya terlalu teruja untuk berkongsi dengan semua.
Err... ini bukan Adilah Cik Serba Tahu. Novel Adilah masih dalam pembikinan. Masih belum siap. Masih sedang ditulis. Err... Namun, ada novel lain yang sudah saya siapkan. Yeye!
Jadi, dengan ini, saya mempersembahkan sedikit sedutan untuk tujuan promosi. Hahaha.

Menurut Kamus Dewan Negara Armani edisi kelima dan Kamu Pelajar Armani edisi keempat, popular bermaksud diketahui dan disukai oleh orang ramai; terkenal. Diulangi, TERKENAL. (Sengaja saya tulis huruf besar bagi memudahkan yang rabun dekat membaca).
Kesimpulan yang saya ambil daripada maksud popular dalam kamus adalah, orang popular istimewa di mata orang lain. Maklumlah, sudah kata disukai, pastinya menjadi buah mulut di kalangan ramai orang. Bukan semua orang disukai. Hanya yang terpilih sahaja. Diulangi, hanya yang terpilih sahaja.

Namun, usah bermuram durja sekiranya awak, awak dan awak semua tidak tergolong dalam golongan istimewa itu. Walaupun tidak terpilih menjadi orang popular, dapat berkenalan dengan orang popular pun sudah satu rahmat. Jadi, tahniah dan bersyukurlah kepada sesiapa pun yang sedang membaca ataupun mencuri baca catatan ini.
Mengapa? Semestinya kerana awak, awak dan awak semua berpeluang mengenali saya, salah seorang daripada insan yang ditakdirkan Tuhan lahir ke dunia ini sebagai orang popular.
Oh, terlupa pula saya mahu memperkenalkan diri. Maklumlah terlalu teruja diri ini menarikan pena dengan semangat membara hinggakan tidak sedar sudah panjang lebar saya menulis sedangkan kita belum pun berkenalan. Baiklah, sudah bersedia mengenali saya?

Nama saya Tengku Leah Binti Tengku Zahrul. Panggilan manja, nama timangan, ataupun yang semakna dengannya; T-Leah. Berumur lima belas tahun. Saya dilahirkan dalam keluarga bangsawan, sebab itulah pada pangkal nama saya ada gelaran Tengku. Jadi, jangan main-main dengan saya ya. Gurau sahaja. Janganlah ambil serius pula.
Saya sebenarnya tersangatlah merendah diri. Sebab itulah saya lebih selesa dipanggil T-Leah. Tidaklah nampak menunjuk-nunjuk sangat. Lagipun T-Leah lebih ringkas, moden tetapi glamor. Serius, saya rasa nama panggilan saya tersangatlah glamor. :)
Ingat popular, ingat Tengku Leah.
POPULAR = TENGKU LEAH = T-LEAH.
Atas sebab itu, saya tanpa rasa segan silu menamakan diari ini sebagai: DIARI ORANG POPULAR.
Syok sendiri?
Suka hati sayalah, ini diari saya.

Nantikan di pasaran!




Monday, February 7, 2011

Buku ini sangat menarik. Dapatkan di pasaran.

Salam untuk semua.
Saya sangat teruja hari ini. Saya pernah membaca proposal manuskrip mentah buku ini. Serius, saya sangat suka dan kagum dengan idea penulisnya. Saya pun tidak terfikir sejauh itu. Saya hanya tahu berangan dan berangan sahaja. Sedangkan penulis ini bijak memasukkan ilmu dalam penulisannya. Saya sungguh terhibur ketika membaca sedutannya dan sangat teruja menantikan kehadiran novel ini.

Jadi, kepada yang TIDAK SUKA MATEMATIK, mahupun yang SUKA MATEMATIK, novel ini perlu dimiliki.




KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA ENTRI PENULIS BUKU INI

Selamat membaca! Semoga mendapat manfaat daripada buku ini! :)

Tuesday, January 4, 2011

Beli terus daripada saya novel Kamilah Kembar Diraja

Pengumuman penting. Saya sudah ada rumah baru. Di rumah baru itu, dijual buku-buku tulisan saya. Jadi, kepada yang masih tidak berjaya mendapatkan Kamilah Kembar Diraja di kedai buku berhampiran, mari ke rumah baru saya; ADALAH RUMAH BUKU

Selain buku Kamilah Kembar Diraja, ada juga dijual semua buku saya yang lain.

Jumpa di sana. Lalala~