Wednesday, September 29, 2010

Di Pasaran November 2010

Kisah ini bermula di negara kecil yang terletak antara Malaysia dan Brunei. Armani nama diberi. Di negara ini, sepasang suami isteri sepakat berpisah dan menjalani hidup sendiri. Si isteri mengimpikan kehidupan sederhana, jauh daripada kongkongan protokol dan glamor keluarga diraja. Manakala si suami terikat dengan amanah yang tergalas di bahu. Keharmonian Armani bergantung kepada kebijaksanaannya mentadbir kerajaan.
Perpisahan ini juga menyebabkan sepasang kembar dibesarkan di dua negara berbeza. Sangka mereka, mereka adalah anak tunggal. Si kakak membesar sebagai remaja biasa yang sering berangan-angan dia adalah anak raja. Manakala si adik lelaki pula dididik sebagai pewaris takhta.
Perpisahan yang menjangkau lima belas tahun itu berakhir dengan kisah gembira. Hubungan yang terlerai kembali terjalin. Si ayah membawa si adik ke negara jiran demi menyatukan dua kembar. Terbongkar rahsia tersemat rapi selama ini lalu ikatan sepasang kembar terjalin kembali. Zara terlalu seronok kerana impiannya jadi realiti. Bersorak dia meluahkan kata-kata keramat itu. “Sayalah Puteri Raja!”

Dengan hati berbunga riang, berangkatlah Zara si puteri raja bersama ayahanda tercinta kembali ke Istana Mawarni. Tinggallah Adam si putera mahkota bersama bonda tercinta di Bandar Baru Bangi. Niat di hati si kembar, mereka mahu bersatu di istana dan hidup aman damai. Namun itu bukan penamat kisah mereka. Siapa kata hidup sebagai puteri raja gembira selalu? Adam berubah hati. Enggan kembali ke istana dan memikul amanah sebagai pewaris takhta. Zara yang menanti dengan harapan menggunung terluka. Istana jadi kecoh. Siapa pula pengganti Adam si putera mahkota? Zara enggan terima keputusan Adam. Tidak sesekali dia mahu berlapang dada membiarkan kedudukan Adam jatuh ke tangan orang lain. Baginya, hanya Adam yang layak mengungkapkan kata-kata keramat itu.
“Sayalah Putera Mahkota!”

Kedudukan sebagai putera mahkota merangkap pewaris takhta adalah amanah. Adam akur dengan takdir diri lalu kembali ke istana bersama bonda tercinta. Bersatulah keluarga diraja dengan harapan mahu menjalani hidup bahagia dan berusaha mentadbir Armani. Namun ada yang mahu mencelah. Mengaku merekalah kembar diraja sebenar. Zara dan Adam berkongsi tekad. Hanya mereka yang layak mengungkapkan kata-kata keramat itu.
“Kamilah Kembar Diraja!”

Kisah Puteri Zara dan Putera Adam terangkum dalam tiga ceritera. Inilah kisah penamat kembar diraja. Semoga tiada duka di hujung cerita.

Thursday, July 1, 2010

Sedang menunggu petunjuk dari langit...

Salam untuk semua pembaca blog ini. Semoga semua baik-baik sahaja.

Saya sungguh gembira hari ini. Mengapa? Sudah tentulah kerana satu daripada kerja saya sudah selesai. Ya, dengan seronoknya saya mengumumkan saya sudah selesai proses menulis dan menambahbaik Kamilah Kembar Diraja. (Bagi yang masih tidak jelas, KKD adalah siri terakhir bagi trilogi kisah Puteri Zara dan Putera Adam).

Nampaknya saya perlu kembali fokus kepada janji yang tertunggak. Kepada yang bertanyakan status sambungan My Memory iaitu Adilah Cik Serba Tahu, harap dapat bersabar dan mendoakan saya supaya dikurniakan idea yang melimpah ruah dan kerajinan tahap maksimum. Seperti kawan-kawan yang tidak sabar mahu membaca, saya sendiri tidak sabar mahu menulis dan menyiapkan penutup kisah Adilah.

Jadi, doakan saya ya. Baiklah itu sahaja 'laporan' saya. Selamat menjalani hidup!

Sunday, June 6, 2010

Sedang ditulis....

Zara menggeliat. Dia tersenyum. Biasanya bangun pagi adalah perkara yang sukar dilakukannya tetapi hari ini ternyata berbeza. Dayang Aina belum pun muncul di dalam biliknya bagi menggerakkan kakinya, matanya sudah terbuka luas. Tidak perlulah si dayang berusaha keras memujuk si puteri. Terselamatlah si dayang daripada menghadapi masalah bagi memastikan si puteri tidak terlewat daripada mengikuti rutin di dalam istana iaitu solat subuh berjemaah, kuliah pagi dan joging bersama sebelum sarapan pagi.
“Selamat pagi, Puteri Zara!” Zara bersorak riang lalu bangkit dari katil. Dia mahu segera ke bilik air. Sepanjang tinggal di dalam Istana Mawarni, inilah pagi yang paling indah. Mengapa? Tentulah kerana keluarganya sudah bersatu, tinggal sebumbung. Oh, bukan itu sahaja sebabnya. Ada sebab lain. Sebab yang berkait dengan insiden semalam.
Ya, Zara sudah tidak sabar mahu menatap surat khabar. Tentu beritanya di muka pertama. Adakah gambarnya dimuatkan? Tetapi semalam, dia tidak sempat bergaya di hadapan lensa para jurugambar syarikat penerbitan. Jadi, bagaimana? Oh, satu kerugian besar!
Sambil memberus gigi, Zara bergaya di hadapan cermin. Fikirannya ligat berputar. Bagaimana agaknya gaya yang paling anggun? Oh, dia perlu ada gaya tersendiri. Barulah ada identiti. Barulah dia kukuh dalam ingatan rakyat jelata.
“Saya Puteri Zara,” luah Zara sambil menggayakan mimik muka orang popular berucap di hadapan kamera. Dia menegakkan badan, dagu sengaja ditinggikan, matanya sengaja dikuyukan. Alamak, tidak sesuai pula. Nanti orang kata berlagak pula. Gaya menggoda pun ada juga. Tentu dia akan menerima kritikan hebat pula nanti.
“Berita yang tuan puan dengar itu memang betul. Saya adalah puteri raja Armani. Puteri Zara Raja Muhammad. Saya juga adalah kakak kembar Putera Mahkota Adam. Kamilah Kembar Diraja!” Zara terus berlatih di hadapan cermin bilik airnya. Dia yakin, langkah seterusnya adalah ditemu bual. Oh, dia perlu sediakan draf ucapannya. Ya, ucapan pertamanya sebagai puteri raja perlulah menarik, tidak membosankan dan menyentuh hati semua yang mendengar. Puteri Zara perlu tampil hebat, elegan dan menawan!
Zara terus hanyut dalam khayalannya sendiri sehingga tidak sedar masa yang berlalu. Ketukan di pintu mengejutkan Zara.
“Puteri, cepatlah.” Kedengaran suara Dayang Aina di sebalik daun pintu.
Alamak, waktu solat berjemaah sudah tiba! Zara dengan pantas mandi ala kadar. Bangun awal pun, dia tetap lewat kerana sibuk berkhayal sampaikan tidak sedar masa berlalu. Hakikatnya sudah tiga puluh lapan minit dan lima puluh lapan saat Zara berkurung di dalam bilik air.
Zara oh Zara. Bilalah agaknya si puteri ini akan berhenti berkhayal?




Mahu tahu kesudahan kisah Puteri Zara? Mahu tahu siapakah yang menjadi pewaris takhta? Apa lagi, berdoalah semoga saya dikurniakan kerajinan, tenaga, masa dan idea yang melimpah ruah bagi menyiapkan penutup siri diraja ini. Terima kasih semua! :)

Friday, June 4, 2010

tentang cuti sekolah dan buku....

Wah, pejam celik, cuti sekolah akan bermula! Rasanya sudah tamat peperiksaan pertengahan tahun, bukan? Semoga dapat keputusan yang baik ya.

Anak buah saya ada peperiksaan PJ petang ini sebelum cuti bermula. Hmm... saya sudah lupa bagaimana exam PJ semasa tingkatan satu. Bagaimana ya?

Yang tadika, darjah dua dan darjah lima pula ada jamuan hari ini. Wah, seronok juga ya sekolah. Hehehe... ini ayat orang tua yang sudah lama (sangat-sangat) meninggalkan alam persekolahan.

Jadi, apa rancangan cuti sekolah? Harapnya buku-buku PTS One termasuk dalam rancangan kawan-kawan semua.

Oh, lupa pula. Esok petang saya dan rakan-rakan penulis Kisah Si Puteri akan berada di Mines (Read Malaysia) pada pukul 2-4 petang. Ada banyak aktiviti menarik. Mahu tahu lebih lanjut? Bukalah PTS One ataupun laman web PTS One ya.


Datanglah beramai-ramai, memeriahkan majlis. Hehehe...

SELAMAT BERCUTI DAN MEMBACA BUKU PTS ONE (dan buku saya juga. Hehe)!

p/s: Sudah baca My Memory? Apa komen saudara saudari?

Tuesday, May 11, 2010

Tentang facebook Aizam Aiman...

Salam semua.

Apa khabar semua? Sudah dapatkan My Memory? Harap yang sudi beli dan baca akan suka dengan karya baharu saya ini.

Oh ya, saya dengan bangganya dan tanpa segan silunya mahu menjemput semua yang sudi add saya di facebook. Ya, sudi-sudikan ya. Hehe...

Semoga semua baik-baik sahaja. :)

p/s: Saya sedang menyiapkan Adilah Cik Serba Tahu- saya sudah langgar deadline. Huhu. Saya juga perlu siapkan Kamilah Kembar Diraja. Huhu. Doakan saya ya.

Wednesday, April 7, 2010

tentang... sedang dicetak!

Pesta buku sudah berakhir! Cuti sekolah pun sudah berakhir. Kini, semua orang sibuk dengan rutin masing-masing. Yang bekerja, yang belajar, yang err.... menganggur!

Okey, saya tidak mahu membebel, saya cuma mahu berkongsi rasa teruja saya. My Memory sekarang dalam peringkat cetakan. Insya-Allah sebulan dari sekarang akan berada di kedai buku.

Nanti, kawan-kawan beli dan baca ye. Ahaks! Tak malu betul saya. :P


Mempersembahkan....







Semoga buku ini menjadi koleksi peribadi yang disukai. :)

p/s: Doakan saya. Saya sedang berusaha memaksa diri menulis Adilah Cik Serba Tahu. Huhu....

Friday, March 19, 2010

tentang... Pesta Buku Kembali Lagi!

Wah! Saya sungguh teruja kerana acara tahunan ini kembali lagi dari 19/03/10-28/03/10. Memandangkan cuti sekolah sudah hampir tiba ke penghujungnya, apa kata ajak keluarga ke pesta buku sementara berkesempatan.

Apakah yang menanti kawan-kawan di sana? Oh, tentulah peluang membeli buku-buku dengan harga diskaun dan peluang bertemu dengan penulis-penulis PTS One!

Maklumat di bawah saya cedok daripada blog UNIKA PTS.

Apa yang menarik di booth PTS tahun ini:

1. Booth: PTS menyewa sebanyak 15 booth tahun ini bagi memastikan anda selesa semasa berada di booth PTS. Ruang yang luas ini memudahkan anda bergerak dan memilih buku PTS.
2. Kaunter bayaran: PTS menyediakan 5 kaunter bayaran. Ini termasuklah 1 'Kaunter Ekspres' bagi anda yang membeli 5 naskhah buku ke bawah secara tunai. Jadi anda tidak perlu risau beratur panjang di booth PTS nanti.
3. VISA & Mastercard: Bagi anda yang tidak suka bawa wang tunai yang banyak, anda boleh guna kad VISA & Mastercard. PTS menyediakan 2 terminal khusus kepada anda yang membayar menggunakan VISA & Mastercard.
4. Buku: Sekurang-kurangnya 1,000 judul buku terbitan PTS akan dipamer dan dijual di booth PTS. Ada novel kanak-kanak dan remaja, buku agama, motivasi, bisnes, novel islami, novel sai fai, buku masak, pendidikan, keluarga, keibubapaan dan banyak lagi.
5. Diskaun: Nikmati diskaun setinggi 25% bagi semua buku PTS. Download kupon diskaun di www.pts.com.my/pestabuku. Bagi pelajar berbaju sekolah dan pelajar IPTA dengan kad pelajar, diskaun yang diberikan ialah 30%. Bagi fan FB PTS (www.facebook.com/bukupts), ada cenderahati untuk anda apabila datang ke booth PTS nanti.
6. Aktiviti: Rebutlah peluang bertemu dan bergambar bersama penulis-penulis PTS di PBAKL nanti. Klik di http://www.pts.com.my/pestabuku bagi melihat jadual aktiviti penulis-penulis PTS.
7. Hadiah: Bagi anda yang membeli buku PTS lebih RM100 & RM200, dan RM500 ada hadiah istimewa menanti anda. Dapatkan juga bookmark percuma apabila membuat bayaran di kaunter.
8. Merchandise: Tahun ini PTS menghasilkan lebih 50 jenis merchandise buat peminat-peminat buku PTS. Ada notepad, badge button, notebook, car sticker, mug, t-shirt, dan sebagainya. Merchandise boleh dibeli di booth PTS pada harga yang sangat berpatutan.


Adakah saya juga berada di booth PTS sedangkan nama saya tiada dalam senarai sesi bersama penulis? Hehehe.... jawapannya... datanglah dan kenal pasti sendiri! :)

Baiklah... selamat memborong buku-buku PTS One! Buku saya juga! Senarai buku saya adlah seperti senarai yang saya letak di bahagian kanan blog ini. Hehehe... tanpa segan silu lagi! :P

p/s: jangan lupa simpan duit untuk beli My Memory pula ya! Buku ini dijangkan berada di kedai buku bulan Mei nanti. Jadi jangan cari pesta buku ya!

Saturday, March 6, 2010

tentang... saya sudah siap tulis My Memory!

Syukur kepada Tuhan! Akhirnya, selepas hampir dua tahun gagal menyiapkan My Memory (sejak awal tahun 2009 saya mula menulis tetapi terhenti begitu sahaja), dengan ini diumumkan saya sudah siap! Saya hanya tinggal proses membaca sekali lagi, bagi menyemak jalan cerita, edit kalau perlu, sebelum menghantar kepada editor. Okey, memanglah nipis sahaja dan tidak menarik pun, tetapi saya tetap gembira!

Oh, saya rasa mahu melompat ke langit! Lalalalala~

Terima kasih di atas doa semua pembaca selama ini! Sekarang saya tidak perlu rasa serba salah apabila ada pembaca yang bertanya bila mahu siapkan sambungan My Secret. Hehehe!

Mengapa selama ini saya gagal menyiapkan My Memory?
Sebab saya terperangkap antara rasa mahu menamatkan siri ini dengan permintaan pembaca yang tidak mahu siri ini ditamatkan dengan My Memory. Pada mulanya, saya mahu menulis My Best Friend dan kemudian barulah My Memory. Tetapi, sungguh, saya tidak dikurniakan idea untuk menulis lebih banyak siri ini. Selain itu, adalah sukar bagi saya ‘maintain’ sikap Adilah dalam siri ini sekiranya saya terus menulis lebih banyak. Kebetulan saya dikurniakan Tuhan idea untuk menulis siri Sayalah..., maka saya mendahulukan siri itu.

Tetapi mengapa akhirnya saya berjaya siapkan dalam tempoh agak cepat? (Saya mula menyambung cerita ini yang terbengkalai; hanya ada beberapa belas muka surat sebelum ini), sejak beberapa minggu lalu.
Sebabnya adalah kerana saya tertekan dengan kerja di pejabat yang tidak habis-habis dan kehidupan saya sekarang agak huru-hara. Apabila saya tertekan dengan hidup, saya akan memilih untuk mencabar diri dan menggembirakan hati sendiri. Menulis adalah perkara yang mencabar dan menggembirakan saya. Jadi, apabila berjaya menyiapkan manuskrip, saya akan rasa yang saya sudah melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidup. Ia adalah pencapaian peribadi@syok sendiri. :)
Selain itu, saya juga bertekad mahu menyiapkan My Memory terlebih dahulu, kemudian barulah saya tulis yang lain-lain. Sebab selagi saya tidak siapkan My Memory, saya akan rasa bersalah kerana tidak berlaku adil kepada Adilah dan pembaca siri My. Lagipun, saya sudah beberapa kali langgar deadline berdasarkan jadual penerbit. Teruk betul saya!

Sebab itulah beberapa minggu ini, saya mencuri-curi masa saya, kadangkala pada waktu malam ataupun hujung minggu untuk menulis, berselang-seli dengan menyiapkan tugasan pejabat. Ya, agak meletihkan dan tertekan kerana terpaksa bawa balik kerja dan pada masa yang sama, mendesak diri menulis. Tetapi, ini pilihan saya. Saya memang suka susahkan diri sendiri. Hahaha! Barulah rasa nikmat apabila berjaya menyahut 'cabaran'.

Okey, seperti yang saya beritahu, Mm Memory adalah siri akhir@penutup kisah Adilah zaman sekolah. Tetapi, Adilah akan muncul semula dalam satu novel di bawah label Syok, iaitu Adilah Cik Serba Tahu. Novel Syok ini akan jadi novel tunggal ya.

Dari mana datangnya idea mahu menulis novel syok ini?

Sebenarnya, Cik Serba Tahu adalah proposal saya kepada PTS One pada tahun 2006. Namun, pada masa itu, saya menghadapi masalah untuk menulisnya lalu proposal tinggallah proposal sehinggalah hujung tahun 2009.

Pada saat saya keliru untuk menamatkan siri My ataupun tidak (pada hujung tahun 2009), Tuhan memberi saya idea untuk menyerap masuk watak Adilah ke dalam cerita Cik Serba Tahu yang terbengkalai itu. Dengan itu, saya mula yakin mahu menamatkan siri My dan tidaklah rasa bersalah kerana pembaca akan ada buku lain yang memperlihatkan kehidupan Adilah yang seterusnya.

Jadi, doakan saya ya. Saya berharap kali ini, saya berjaya menyiapkan novel itu. Pada entri yang lain, saya akan berkongsi serba sedikit apakah jalan cerita Adilah Cik Serba Tahu, okey. :)

Oh, saya perlu siapkan kerana saya tidak suka buat kerja separuh jalan!
Berusaha!

Berbalik kepada My Memory, saya akan maklumkan apabila novel ini sudah berada di pasaran kelak!

Kawan-kawan, mari kita bertabah dan berusaha mencapai matlamat masing-masing! :)

Monday, February 22, 2010

tentang... apa yang sedang saya sibukkan sekarang

Okey, seperti selalu saya akan minta maaf kerana lama menyepikan diri. :P
Saya juga akan ulang alasan yang sama, saya memang tidak tahu mahu tulis entri berkenaan apa melainkan hal buku. Sebab itulah saya lebih banyak menyepikan diri kerana saya tidak ada apa-apa yang mahu diceritakan (memandangkan saya bukannya aktif sangat menulis buku).

Baiklah, mengapa akhirnya saya menulis entri ini. Ya, saya ingin berkongsi perasaan sedih. Sedih? Mengapa?

Saya sedang menyiapkan My Memory. Ya, akhirnya saya sudah dikurniakan idea dan kerajinan. Buat pengetahuan semua, My Memory adalah sambungan My Secret dan juga penutup siri My.

Ya, dan sekali lagi, saya ulang, buat pengetahuan semua, siri My akan ditamatkan dengan My Memory. Ini adalah sesuatu yang pasti. Saya sudah membuat keputusan. Oh, jangan bimbang, bukannya saya mahu berhenti menulis. Cuma, bukan siri MY. Itu sahaja. :)

Jadi saya bersedih kerana dua sebab. Satunya kerana mahu mengucapkan selamat tinggal kepada siri My. Kedua, kerana kisah My Memory agak sedih. Hendak tahu apa yang sedih di dalam cerita ini? Hehehe.... harap bersabar ya. Ada beberapa bulan (banyak bulan) lagi, sebelum buku ini berada di kedai-kedai buku.

Okey, walaupun siri My akan ditamatkan, My Memory bukanlah penutup kisah Adilah.
Mengapa?
Hehehe...
Okey, izinkan saya berkongsi sedikit perancangan (perancangan sahaja, ia akan mengambil masa yang sangat lama sebelum menjadi kenyataan!)

Sebuah novel dengan tajuk sementara Adilah Cik Serba Tahu akan menjadi penutup untuk kisah Adilah dan kawan-kawannya. Hendak tahu lebih lanjut? Saya akan kongsi selepas My Memory siap dan ketika saya mula menyiapkan manuskrip itu pula, ya!


Oh ya, harap bersabar. Saya perlu siapkan My Memory dahulu. Kamilah Kembar Diraja, iaitu sambungan Sayalah Putera Mahkota hanya akan mula ditulis selepas My Memory berada di kedai buku.

Oh, tolong doakan saya ya sebab saya sangat tamak. Banyak mahu ditulis tetapi sikap malas saya nampaknya mendominan dalam diri. Huhu! Ya, ditambah pula saya sibuk, kerja saya banyak. Hahaha... jangan percaya pada cakap pemalas seperti saya. :P

Okey, memandangkan saya terlebih excited dan rasa bersalah kerana tidak update blog, maka dengan ini saya sertakan sedutan My Memory yang kini baru siap 30% (heh? 30% sahaja? Huhu, jauh lagi. Doakan saya!)


Assalamualaikum,” sapa ketua pelajar itu.
“Wa’alaikumussalam. Ada apa awak mahu jumpa saya? Saya tidak sangka awak tergamak mengugut pelajar itu.” Adilah mencemik. Dia mengulang soalannya selepas menjawab salam yang diberikan. Sudahlah semalam dia bermimpi ngeri dan tidak cukup tidur. Malah kepalanya sakit. Kini, terpaksa pula menghadap Hakim. Entah apa mahunya. Janganlah mahu membebel panjang dengan kata-kata nasihat. Oh, memanglah bagus diberikan nasihat, tetapi untuk hari ini, Adilah memang tidak mampu menadah telinga. Terlalu banyak yang perlu difikirkannya.
Hakim tersenyum dan kemudiannya bersuara, “Sekiranya ya pun, duduklah dahulu. Mengapa serius sangat? Tidak suka jumpa saya? Saya main-main sahajalah. Bukannya saya akan apa-apakan dia pun.”
Adilah mencemik lagi. Pantas dia mengambil tempat bertentang dengan Hakim. Sebaik sahaja dia duduk, Hakim menyuakan sepinggan nasi lemak. “Sambal dan timun lebih. Harap menepati selera awak,” kata Hakim yang terus tersenyum.
Adilah merenung Hakim. Dia hilang kata-kata. Tidak menyangka yang Hakim akan melakukan yang sama dengan aktiviti mereka bertahun-tahun yang lalu.
“Mengapa diam? Awak sudah ubah selera?” Hakim bertanya.
Adilah tersenyum, lalu bersuara perlahan, “Awak masih ingat?”
Hakim tergelak kecil. “Bukankah saya sudah kata, saya ingat. Banyak perkara berkaitan awak saya sentiasa ingat. Saya tidak mungkin lupakan awak.”
Oh, Adilah rasa air matanya akan menderu, harus banjir seluruh kantin sekiranya Hakim tidak berhenti berkata-kata. Tiba-tiba sahaja dia rasa terusik dengan kenangan lama itu. Ya, kenangan yang sentiasa ada dalam ingatannya. Kawan adalah memorinya. Hakim adalam kawan baiknya. Maka, memori bersama Hakim adalah kenangan terindah. Eh nanti. Apabila difikir kali kedua, melampau pula kenyataan itu. Tidaklah sehebat itu Hakim dalam hatinya. Ish, ini boleh menimbulkan salah faham kepada orang yang tidak tahu sejarah persahabatan mereka! Tidak sesuai betul!

Wednesday, January 20, 2010