Monday, March 31, 2014

E-Novel Puteri Zara: Bab 10

Aina bergegas menuju ke pintu. Bunyi loceng berterusan, bertalu-talu, membingitkan rumah teres satu tingkat itu. Tanda ada tetamu yang tidak diundang sedang menunggu pintu dibuka. Bunyi yang bermula semasa dia sedang solat asar. Mujur juga dia sudah pada rakaat terakhir.
Muka pintu dikuak. Pantas Aina melangkah menuju ke pintu pagar yang bermangga. Sengaja dikunci biarpun ada orang di rumah. Zaman sekarang, bahaya sukar dijangka. Siang malam, risikonya tetap ada.
Lambatnya. Berpeluh-peluh saya menunggu awak.” Tanpa salam mahupun, tetamu tidak diundang memulakan bebelan.
Aina tersengih. “Maaf, saya solat tadi. Assalamualaikum. Tuan puteri apa khabar?” Lembut suaranya, langsung tidak ada tanda-tanda dia terasa hati dengan sikap kasar tetamu itu. Alah bisa tegal biasa. Sudah masak benar dia dengan sikap tuan puteri.
Pintu pagar diselak. Pantas si tetamu yang kepanasan melangkah laju. Beg roda besar berwarna merah jambu ditinggalkan begitu sahaja di luar pagar. Lalu Aina tanpa disuruh menarik beg itu. Tidak mungkin mahu dibiarkan sahaja di luar pagar. Sekiranya hilang, mahu berantakan, bukan setakat di rumah teres itu, malah seluruh taman kerana raungan si puteri. Tidak semena-mena, menimbulkan panik dan tanda tanya pula.
Sebaik sahaja Aina sampai di muka pintu, arahan diterima.
Buka kipas. Panas betul. Rumah ini tidak ada pendingin hawa? Nanti pasanglah satu di ruang tamu.” Zara sudah duduk di atas sofa, tanpa perlu dipelawa. “Penatnya saya. Tadi saya ambil teksi dari KLIA. Mulanya mahu naik limousin, tetapi rasa tidak berbaloi pula mahu bayar mahal. Jadi, saya ambil teksi biasa sahaja. Itu pun mahal juga. Hampir pengsan saya melihat rupa teksi itu. Bunyi enjinnya aduhai. Sudah jatuh ditimpa tangga, pendingin hawa teksi rosak pula. Buka tingkap, angin kuat, herot-berot tudung saya dibuatnya.” Panjang rungutan Zara.
Aina yang secara paksa rela menjadi pendengar setia menekan suis kipas. “Rumah sewa, biasalah. Kalau ada pendingin hawa, semakin tinggi pula sewa yang diletakkan.” Dia kemudiannya meletakkan beg roda merah jambu Zara di tepi sofa. Senyum lagi.
Daripada duduk, Zara berbaring pula. “Haus betul saya. Ada jus oren? Letak ais, ya. Saya mahu sejukkan tekak dan badan.” Mata ditutup. Kepalanya dipicit-picit. Terasa seperti baru selesai merentas desa sejauh 40 kilometer. Ya, bukan 4 mahupun 14 kilometer, tetapi 40 kilometer. Begitulah taraf keletihan yang Zara rasakan saat itu. Biasalah, puteri raja terlebih dos mengada-ngada.
Jus oren tiada. Jus epal, jus tembikai, jus mangga, jus durian belanda, semua pun tiada. Hanya ada sky juice. Boleh?” Sebelum ditanya, Aina terlebih dahulu memberitahu. Sudah maklum benar senarai minuman kegemaran tuan puteri.
Tanpa membuka mata, Zara menjawab, “Hmm... bolehlah. Bukannya saya ada pilihan lain.”
Aina meninggalkan Zara sendirian. Seketika, dia membuka mata lalu kembali duduk apabila teringatkan sesuatu. Pantas dia mengambil telefon bimbit dari dalam beg yang digalasnya tadi.
Mama, saya sudah sampai ke rumah Aina. Jangan risau.
Mesej ditaip lalu dihantar menggunakan aplikasi WhatsApp.
Okey.
Itu sahaja? Hanya satu perkataan? Keluhan panjang dilepaskan. Zara memandang skrin telefon bimbit yang dipegangnya. Satu saat, dua saat, tiga saat. Matanya terus melekap pada skrin. Masih berharap ada mesej seterusnya.
Harap maaf, tiada. Ya, sungguh mendukacitakan. Fikirnya tadi, ibunya akan terus menelefonnya. Paling tidak pun, menghantar mesej yang berjela-jela, melahirkan kerinduan dan pesanan supaya dia menjaga diri. Ternyata sangkaan ataupun lebih tepat dikatakan sebagai harapan Zara, tidak kesampaian.
Tidak semena-mena mata Zara berkaca. Sayu pula rasa dalam hati. Tidakkah si ibu merindui anak perempuan tunggalnya ini? Tidakkah si ibu bimbang mengenangkan nasib anak perempuan tunggalnya ini yang samar-samar? Tidakkah si ibu mahu bertanya bagaimana Zara menghadapi beberapa jam ini seorang diri?
Beberapa jam yang penuh syahdu kerana Zara terpaksa meninggalkan Armani, meninggalkan Istana Mawarni, dan meninggalkan bilik tidur mewahnya disebabkan ada janji yang perlu ditepati? Beberapa jam yang mendebarkan kerana inilah kali pertama Zara menaiki kapal terbang seorang diri, dan akan menghadapi masa depan yang tidak pasti. Bukankah pagi tadi ibunya hampir-hampir menahan dia daripada pergi? Hanya beberapa jam berlalu, sudah tidak kisah? Amboi, sampai hati! Hati Zara bagaikan dihempuk berulang kali.
Aina muncul kembali menatang dulang yang diletakkan gelas berisi air kosong dan piring berisi anggur. Diletakkan dulang itu di atas meja. “Minumlah.”
Telefon dalam genggaman diletakkan di atas meja. Pantas tangan Zara mencapai gelas lalu meneguk air dengan rakus seolah-olah sudah lima hari lima puluh lima minit dan lima saat dia tidak minum air. Kosong gelas hanya dengan tiga kal teguk. Anggur dalam piring diambil segugus.
Tuan puteri sudah makan nasi?” tanya Aina yang akhirnya dapat juga melabuhkan punggung di sofa.
Zara mengangguk. “Tadi di dalam kapal terbang, saya sudah makan. Aina, di sini tidak perlu panggil puteri. Panggil Zara sahaja. Lagipun saya tidak mahu orang tahu identiti saya.”
Walaupun ketika kita berdua tanpa orang lain?” tanya Aina.
Zara mengangguk sambil mulutnya terus mengunyah anggur. Anggur yang dikeringkan iaitu kismis, adalah salah satu buah kesukaan Nabi Muhammad SAW. Mengikut hadis yang direkodkan oleh Abu Daud, Nabi Muhammad SAW kerap menyimpan kismis yang direndam di dalam air. Beliau akan meminumnya pada hari itu juga, ataupun diminum pada keesokan harinya, dan kadangkala pada hari berikutnya.
Buah anggur mengandungi antioksidan yang tinggi, yang diperlukan untuk melawan radikal bebas. Antara khasiat buah anggur termasuklah untuk mencegah kanser, strok, Alzheimer, dan untuk awet muda.
Ya, untuk membiasakan diri dan supaya kita tidak terlepas cakap di hadapan orang lain.” Mata Zara meliar, memerhati ke sekitar rumah.
Aina mengangguk. “Baiklah, kalau tuan puteri sudah kata begitu.”
Berapa orang tinggal di rumah ini? Ada berapa bilik?” tanya Zara sambil terus mengunyah anggur. Memang tidak langsung menjaga kesopanan sebagai puteri.
Termasuk saya ada tiga orang. Rumah ini ada tiga bilik,” beritahu Aina.
Tiga bilik sahaja? Maksudnya saya perlu berkongsi bilik? Hmm... siapa yang duduk di bilik utama? Bilik itu bersambung terus dengan bilik air?” tanya Zara lagi.
Saya yang duduk di bilik utama. Ya, bilik air ada di dalam bilik,” akui Aina.
Bagus, saya mahu duduk di bilik utama. Senang mahu guna bilik air. Kalau saya suruh awak pindah, dan berkongsi bilik dengan orang lain, macam tidak patut pula. Tidak mengapalah, kita berkongsi bilik.” Zara bangun. “Tunjukkan saya biliknya. Saya mahu berehat di dalam bilik.”
Aina tersenyum lagi. Arahan demi arahan, maklumlah puteri rajalah katakan. Mujur Aina sudah dilatih supaya mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Sekiranya orang lain, mungkin Zara sudah dihalau keluar bersama beg roda merah jambu yang beratnya seperti penuh diisi batu-bata.
Mari saya tunjukkan.”
Baru selangkah, Zara berpatah kembali. Tidak, bukan untuk mengangkat beg rodanya, sebaliknya untuk mencapai segugus lagi anggur. Kali ini, bukan sahaja beg roda, beg galas juga dibiarkan sahaja. Alahai, puteri seorang ini, buruk sungguh perangai. Nampaknya kali ini Aina perlu uruskan dua beg tuan puteri. Mujur biliknya hanya sekangkang kera.
Puteri mahu solat dahulu?” tanya Aina. Pintu bilik dikuak.
Zara menggeleng. “Saya sudah solat jamak takdim dan qasar tadi semasa tiba di KLIA. Saya mahu mandi dan berehat.” Menyedari sesuai, Zara separuh menjerit, “Alamak! Adakah ini bermaksud kita perlu berkongsi katil?” Pandangannya mati pada katil saiz queen di dalam bilik itu. Satu-satunya katil yang ada di dalam bilik yang sederhana besarnya.
Tidak mengapalah kalau tuan puteri keberatan. Saya boleh tidur di atas lantai, saya ada toto sebagai alas.” Sayu pula suara Aina pada pendengaran Zara.
Sekiranya Zara tergamak membiarkan Aina beralah, memberikan katil yang bertilam empuk kepada Zara, dan membiarkan diri sendiri tidur beralas toto nipis di atas lantai, maka tanpa syak lagi, Zara bukan sahaja puteri raja yang terlebih dos manja, tetapi juga layak mendapat gelaran puteri raja paling kejam, tidak berhati perut, dan yang paling penting, tidak tahu malu.
Bukankah saya sudah kata, tidak perlu panggil tuan puteri kalau bukan di dalam istana,” tegur Zara, mengingatkan.
Aina tersengih, “Maaf, saya tersasul.”
Zara melabuhkan punggung di hujung katil yang tersarung cadar dengan corak yang sangat tidak menepati cita rasanya. Dia sudah berkira-kira mahu membeli cadar lain yang sedap matanya memandang, namun sepantas kilat dia menghapuskan niatnya apabila teringatkan misinya mahu mengumpul duit, dan bukan menghabiskan duit.
Walaupun saya memang tidak suka berkongsi tempat tidur dengan orang lain, tetapi saya tidaklah sekejam itu. Kita berkongsi katil dan gunakan bantal sebagai pengadang. Tidak mengapalah, saya akan pujuk hati supaya bersabar dengan ketidakselesaan ini, asalkan awak tidak masuk sempadan. Okey, saya mahu mandi.” Dalam erti kata lain, Aina, sila keluar, Zara perlukan privasi.
Baiklah, saya keluar dahulu. Kalau perlukan apa-apa lagi, beritahu ya.”
Zara tidak bersuara lagi. Matanya memerhati sekitar bilik. Nampaknya dia perlu memujuk hati supaya bersabar dengan saiz bilik itu yang besar sedikit ataupun mungkin lebih kecil daripada bilik pakaiannya di Istana Mawarni. Ya, Zara rasa memang lebih kecil. Kalau mahu dibandingkan dengan bilik tidurnya, maka jauh panggang daripada api. Maklumlah sudah dua tahun dia terbiasa bermewah dengan bilik yang seperti dewan sekolah, pastinya dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri.
 ‘Bertabahlah, wahai hati!

Wednesday, March 5, 2014

E-Novel Puteri Zara: Bab 1

Cantiknya tuan puteri malam ini.”
Oh, alangkah seronok kalau saya dapat memiliki gaun secantik ini.”
Tuan puteri nampak berbeza malam ini. Terpukau saya melihat wajah tuan puteri yang berseri-seri. Apakah rahsianya? Harap tidak keberatan untuk berkongsi dengan saya.”
Tuan puteri, tolonglah saya! Saya mahu jadi seperti tuan puteri yang cun melecun. Tolong berikan tip terbaik dan berkesan dalam tempoh tiga hari kepada saya. Kalau berkesan dalam tempoh 24 jam lebih baik.”
Zara ketawa kecil, berterusan membayangkan dialog-dialog yang bakal menyapa telinganya. Pujian-pujian melangit yang bakal diterimanya. Suara-suara terdesak yang mahu jadi sepertinya. Amboi, memang melampau angan-angan Zara!
Senyumannya melebar hingga nampak gusi. Terlalu teruja memandang pantulan dirinya sendiri pada cermin besar yang menghiasi dinding bilik pakaiannya. Tanda puas hati dengan penampilan dirinya. Ya, dia yakin dia sudah melakukan yang terbaik kali ini. Dalam banyak-banyak pakaian, dia yakin pilihannya itu tepat. Gaun potongan puteri yang dipakainya itu yang tercantik untuk majlis malam ini. Gaun chiffon berwarna violet itu rekaannya ringkas, tetapi elegan memang sesuai dengannya. Kasut bertumit sederhana tinggi yang dipakainya direka khas dan sedondon dengan gaun itu.
Senang kata, memang satu set pakaiannya direka khas untuk saling melengkapi. Biar nampak sedondon, seia, dan sekata. Kali ini, dia berpuas hati dengan prestasi pereka fesyen dan perunding imejnya. Dia yakin, usaha kali ini tiada cacat celanya.
Ya, Puteri Zara binti Raja Muhammad yakin penampilannya akan memukau setiap mata yang memandang. “Sempurna,” bisik Zara. Dia berlatih berjalan di dalam bilik pakaian.
Ya, saya tahu penampilan saya malam ini sungguh menawan. Terima kasih di atas pujian yang diberikan.”
Oh, saya tidak ada apa-apa rahsia. Saya hanya menggunakan produk warisan turun-temurun keluarga diraja. Selebihnya, saya hanya menjaga makan dan selalu bersenam. Hasilnya, seperti yang kamu dapat lihat. Kulit saya gebu dan licin. Badan saya pula sedang-sedang sahaja. Tidak terlalu kurus, tidak terlalu gemuk. Pendek kata, sedap mata memandang.” Penerangan panjang lebar itu diikuti dengan ketawa ala-ala manja dan malu. Hendak kata persis perempuan Melayu terakhir, macam kurang sesuai pula. Lebih tepat, kegedikan tahap sederhana.
Tidak, jangan salah faham. Semua kata-kata pujian dan jawapan syok sendiri itu bukan angan-angan kosong. Zara sedang berlatih. Dia yakin malam ini, dia akan dilimpahi dengan tumpuan yang tidak berbelah bahagi. Jadi, dia perlu bersedia supaya sesi puji-memuji nanti berjalan lancar. Sekurang-kurangnya itulah yang Zara fikir. Alahai, kasihan si puteri yang memang tidak dapat dinafikan lagi, menggunung dan melaut betul harapannya mahu menjadi puteri idola rakyat jelata.
Tersengih-sengih, dia berpusing beberapa kali di hadapan cermin besar itu, sambil tangannya memegang bagi mengembangkan lagi gaunnya. Terus berkhayal dan memuji diri sendiri. Memang kalau berada dalam bilik itu, kerjanya berangan dan berangan tentang penampilan diri seorang puteri raja.
Dalam tempoh dua tahun ini, Zara memang sangat suka berada di dalam bilik itu. Masanya banyak dihabiskan di situ. Mana tidaknya, bilik itu umpama mimpi jadi nyata. Bilik itu bukan sebarang bilik. Bilik yang bercantum dengan bilik tidurnya itu menempatkan berpuluh-puluh, malah mungkin beratus-ratus pakaian.
Gaun, jubah, baju kurung, blaus, dan seluar. Namakan sahaja. Semua ada, pelbagai warna, pelbagai jenis material. Rak kasut yang dibina melangit pula menempatkan beratus-ratus pasang kasut pelbagai reka bentuk jenis, dan warna.
Di dalam bilik itu juga, ada pelbagai jenis aksesori lain untuk dipadankan dengan setiap pakaian. Gelang, mahkota, beg, dan tali pinggang. Tudung, selendang, dan ya, stoking... pelbagai warna, ada yang bercorak, banyak yang polos juga mungkin beratus-ratus helai. Pendek kata serba serbi lengkap.
Itulah bilik kegemaran Zara. Setiap kali melangkah ke dalam bilik itu, Zara akan tersenyum lebar, mengingatkan dirinya, “Sayalah puteri raja!”
Puteri Zara, sudah tiba masanya.” Teguran itu mematikan lamunan Zara. Dia melihat cermin buat kali terakhir, mahu memastikan sekali lagi selendangnya tidak senget, gaunnya terletak cantik. Selepas berpuas hati dengan penampilannya, Zara melangkah penuh yakin diiringi si dayang. Yakin? Okey, tipu. Tidaklah sangat. Buat-buat yakin, mungkin.
Malam ini, ada kenduri di istana. Bukanlah kenduri besar-besaran. Hanya majlis doa selamat dan makan malam keluarga diraja. Memang acara sebulan sekali, bagi merapatkan silaturahim. Keluarga Tengku Muiz dan Tengku Mira, kerabat kembar diraja turut diundang. Maklum sahaja, hubungan yang pernah renggang, kini kembali rapat sesudah salah faham sekian lama terlerai.
Dipendekkan cerita, kenduri ini acara rutin, subjek utama bukan Zara si puteri raja. Bukan dia orang yang diraikan. Tetapi, biasalah, setiap kali ada majlis Zara akan berusaha gigih untuk memastikan dia tampil menarik. Dia akan memastikan pakaian yang dipakainya serba-serbi baru. Dia mahu sentiasa tampil menarik dan menawan.

Mengapa saya lihat awak semakin gemuk?”
Zara cuba tersenyum. Kelat. Merah mukanya, menahan rasa geram yang menerpa segenap ruang hatinya. Nampaknya dia memang berjaya mencuri tumpuan. Sayang seribu kali sayang, bukan itu sapaan yang diharap Zara, dan sudah pasti bukan sapaan daripada lelaki itu. Namun, seperti selalu lelaki itu memang gigih mahu menukarkan hari Zara yang cerah menjadi kelam.
Baju yang dipakai direka oleh pereka fesyen terbaik. Penampilannya malam itu atas nasihat perunding imej terbaik. Senang-senang sahaja Tengku Muiz menidakkan penampilannya pada malam itu. Dia fikir dia siapa mahu mencalarkan emosi Zara dengan soalan kejam tanpa berlapik?
Assalamualaikum, Tengku Muiz.” Suara Zara bergetar. Muka yang mula merah cuba ditenangkan dengan senyuman yang memang boleh dilihat dibuat-buat dan tidak ikhlas. Senyum paksa rela.
Tengku Muiz ketawa kecil. Sedar dirinya disindir. Disertakan sengihan yang melebar, dia membalas, “Waalaikumussalam, Puteri Zara. Apa khabar, tuan puteri?”
Belum sempat Zara menjawab, Tengku Muiz terus menyambung bicara, “Oh, tidak mengapa. Tidak perlu dijawab soalan patik. Melihat diri tuan puteri, patik pacal yang hina sudah tahu jawapannya. Tuan puteri berada dalam keadaan sihat walafiat, malah seperti dipam-pam. Patik yakin, tuan puteri sudah bertukar saiz baju, dan itu sudah cukup untuk menunjukkan betapa sejahteranya keadaan tuan puteri.” Tersengih-sengih lagi. Amboi, bukan main galak dia menyindir. Panjang lebar, tanpa segan silu lagi.
Zara yang mendengar sudah panas telinga. Mujur sahaja tidak nampak kepulan asap keluar daripada telinga yang ditutup dengan hijab. Tangannya yang rapat di sisi tubuh, sudah menggenggam penumbuk. Ya, kalau diikutkan amarah dalam hati, mahu dihadiahkan sahaja penumbuk ke muka Tengku Muiz. Biar muka putih itu memerah, kemudian membiru. Biar bengkak dan lebam. Kalau cukup kuat, berdarah. Biar tercemar muka yang layak jugalah dikategorikan sebagai kacak. Barulah Zara puas hati.
Oh, tidak. Jangan salah faham pula. Wajah Tengku Muiz, tidaklah kacak sekacak-kacaknya. Sederhana kacak sahaja. Bukanlah Zara mahu memuji musuhnya itu. Seribu kali dia tidak sudi sama sekali. Masalahnya, kenyataan tetap kenyataan. Kenyataan nombor satu, Tengku Muiz sederhana kacak. Kenyataan nombor dua, Zara rasa mahu tumbuk muka lelaki yang menjengkelkan itu.
Namun, sebagai puteri raja, dia perlu menjaga tingkah laku. Sopan santun, lemah lembut, tinggi budi pekerti, pijak semut pun tidak mati, bukankah semua itu sifat mulia lagi terpuji yang diharapkan ada pada seorang puteri raja?
Sekiranya dia hilang kawalan, nama siapa yang tercemar? Imej siapa yang akan jadi buruk? Pastinya bukan nama Tengku Muiz. Nama Zara juga yang akan terpapar pada muka hadapan surat khabar. Pasti ada laporan kronologi kejadian, ada latar belakang subjek, ada ulasan orang politik, pereka fesyen, dan rakyat jelata. Senang kata, pelbagai artikel ditulis daripada banyak sudut.
Bukan sekali, bukan dua kali, tetapi akan diulang berkali-kali, dan bertahun-tahun. Biasalah, manusia memang suka mengungkit dan mengenang perkara tidak elok yang dilakukan oleh orang lain. Zara sudah dapat membayangkan tajuk-tajuk yang akan digunakan bagi melariskan jualan surat khabar, esok, lusa, tulat, dan hari-hari mendatang.
Hangat lagi sensasi, Puteri Zara berkasar dengan kerabat diraja!
Tidak beradab, Puteri Zara mencederakan kerabat diraja?
Tumbukan seorang puteri?
Hilang sudah kelembutan Puteri Zara yang memang sedikit.
Puteri Zara mencederakan orang?
Puteri Zara berbahaya?
Istana Bergolak: Puteri Zara dan Tengku Muiz kembali bermusuh?
Dendam lama masih membara?
Kerana Zara, keluarga diraja dan kerabat diraja kembali berantakan?
Salah siapa Puteri Zara bertindak kasar?
Ya, mungkin itulah antara senarai tajuk yang akan terpapar. Berita yang buruk memang mudah dapat perhatian. Bukan sahaja di muka hadapan surat khabar, pasti lebih pantas dipaparkan di blog dan laman sosial. Maka, akan berantai-rantailah komen-komen yang diberikan. Komen yang memang tidak menjaga hati. Komen yang bakal membuatkan Puteri Zara mahu meraung dan berkurung di dalam bilik, makan dan makan untuk mengubat luka dalam hati akibat tembakan berdas-das peluru perlian dan sindiran.
Semuanya berkenaan Puteri Zara. Puteri Zara yang gagal menyesuaikan diri. Puteri Zara yang tiada aura puteri. Dan kini, adakah Puteri Zara akan dianggap kaki pukul pula? Oh, tidak!
Jangan ambil hati. Abang saya bergurau sahaja,” satu suara lembut menyampuk. Gadis ayu, pujaan seluruh warga Armani itu sering bertindak sebagai pendamai.
Mata Zara menangkap mata Tengku Mira. Wajah yang tadinya sudah mencuka kembali manis. Senyuman lebar dihadiahkan. “Saya tahu Tengku Muiz cuba berlawak, mahu beramah mesra dengan saya. Bukankah itu memang rutinnya? Malangnya setiap kali pun, cubaannya gagal. Tidak mengapalah, boleh cuba lagi lain kali.”
Pandangan Zara kembali kepada Tengku Muiz. “Usaha lagi, ya. Usaha tangga kejayaan.” Zara menggenggam penumbuk dan melonjakkan tangannya ke langit. “Berusaha!” Mata dikenyit. Ya, penumbuk yang dibayangkan menyapa pipi Tengku Muiz akhirnya hanya menolak angin.
Tengku Muiz hanya menggeleng dalam senyuman. Dia tahu dia kasar. Mulutnya seperti gagal dikawal, ada sahaja sindiran buat si puteri. Kadangkala rasa bersalah juga, namun selalunya hatinya seperti digeletek apabila melihat Zara menggigit bibir menahan geram. Dia rasa seperti mahu menyanyi riang setiap kali melihat Zara menggenggam tangan menahan amarah dek kerana kata-katanya. Keseronokan itu buat dia mahu terus menyakat Zara.
Siapa kata saya bergurau? Saya serius? Jadi, Puteri Zara, bila agaknya mahu menamatkan zaman bermalas-malasan sambil menggebukan badan? Bila mahu sambung belajar? Sudah dua tahun, masih trauma dengan SPA? Kalau ambil diploma, sudah tamat pun. Saya dan Tengku Mira sudah dua tahun bergelar siswa dan siswi. Insya Allah, dua tiga tahun lagi tamat pengajian. Tidak mungkin Puteri Zara mahu tunggu kami tamat pengajian, baru mahu terkedek-kedek sambung belajar?”
Panjang lebar bebelan Tengku Muiz membuatkan Zara terkenang seseorang. Siapa lagi kalau bukan Raja Zahariah, nendanya yang garang dan suka menyindirnya. Nampaknya Tengku Muiz dan Raja Zahariah memang berada dalam pasukan yang sama. Memang senada dan ayat yang keluar daripada mulut mereka pun hampir sama, seia sekata, sehati dan sejiwa dalam usaha menyakitkan hati Zara.
Musykil pula Zara dibuatnya. Siapa sebenarnya cucu Raja Zahariah? Kalaulah Tengku Muiz cucu sebenar, maka Zara bukan puteri raja? Okey, sila abaikan. Zara sudah penat mahu menempuhnya sekali lagi. Cukup-cukuplah. Zara adalah puteri raja. Kembar si pewaris takhta, Putera Mahkota Adam. Muktamad.
Perbualan yang lebih kepada sindiran itu terhenti apabila majlis bacaan doa selamat bermula, diikuti sesi paling disukai Zara. Sesi makan-makan. Mujur ada sesi yang dapat buat Zara lupa seketika kepada kejengkelan Tengku Muiz. Menikmati makan, itu satu cara Zara melupakan jerit perih bergelar puteri raja Armani!
Ya, siapa kata hidup sebagai puteri raja mudah? Siapa kata hidup sebagai puteri raja tidak ada stres? Siapa kata hidup sebagai puteri raja hanya ada riang ria tanpa duka lara? Siapa? Siapa?
Kalau ada yang berkata begitu, maka ternyata orang itu tidak tahu apa-apa. Orang itu sekadar bercakap kosong ataupun mungkin terpedaya dengan pesona cerita dongeng si puteri yang hidup serba mewah dan disayangi semua. Orang itu tidak tahu yang hidup puteri raja pun seperti manusia lain, masam, manis, dan kadangkala masin.
Apatah lagi hidup sebagai Puteri Zara, bukan puteri piihan. Lebih banyak masin daripada manis. Okey, sedih pula apabila mengenangkan hakikat itu. Zara semakin laju menyuap makanan.

Puteri Zara!”
Zara yang mulutnya penuh makanan mengangkat kepala. Flash kamera menyilaukan matanya seketika. Aduhai! Gambar candid dia diambil. Oleh siapa? Wartawan? Maaf, tiada wartawan yang diundang. Ini adalah sesi makan-makan bersama ahli keluarga sahaja. Sesi bersifat tertutup dan peribadi. Jadi, siapa pula yang sibuk-sibuk mahu ambil gambar Zara? Siapa lagi, kalau bukan Tengku Muiz. Bukanlah hendak perasan, tetapi Tengku Muiz memang tidak berseri agaknya hidupnya tanpa menyakat Zara. Adakah ini bermaksud hidup Tengku Muiz kusam dan kelam tanpa kehadiran Zara? Oh tidak! Terasa seperti terpijak ulat bulu, geli-geleman Zara memikirkannya.
Fokus, Zara. Fokus kepada gambar yang... Tidak mungkin gambar yang cantik molek, yang akan membuatkan Zara tersenyum sendirian apabila menatap gambar itu kelak.
Ya, Zara yakin pasti gambar itu memaparkan pipinya yang kembong dek makanan, mulutnya yang berminyak, dan mukanya yang berpeluh-peluh kerana terlalu khusyuk menikmati makanan akan terpapar di laman sosial Tengku Muiz. Kemudian akan berderetanlah komen-komen yang menjengkelkan dan melukakan hati daripada fanatik Tengku Muiz dan haters Puteri Zara. Oh tidak....
Mengapalah Zara terlupa akan kemungkinan yang berlaku itu. Bukan tidak pernah sebelum ini terjadi insiden memalukan.
Tolong delete gambar saya. Lain kali tolong jangan ambil gambar saya. Saya tidak suka awak ambil gambar saya tanpa kebenaran.” Dengan mulut yang penuh berisi makanan, Zara membebel, menegur kelakuan Tengku Muiz yang memang tidak digemarinya itu. Teguran yang bukan kali pertama diluahkan. Sebelum ini, sudah beberapa kali dia menegur tindakan Tengku Muiz yang memang suka ambil gambarnya secara candid. Tolonglah! Zara tahu dia popular, tetapi tidak perlu Tengku Muiz bertindak sebagai paparazi pula.
Relakslah. Jangan marah-marah, nanti cepat tua. Tengok, muka awak sudah ada kedutan.” Seperti selalu juga, Tengku Muiz akan mengabaikan teguran Zara. Dia meletakkan smartphone ke dalam poket seluar. Gelas berisi air putih diambil lalu diteguknya.
Awak suka saya ya?” tanya Zara terus terang.
Tersembur keluar air yang baru diteguk oleh Tengku Muiz. Mujur sahaja tidak ada sesiapa di hadapannya. “Merepek!” Ketawa Tengku Muiz pecah. Tidak tahulah ikhlas ataupun dibuat-buat.
Muka Zara kekal serius. “Saya tidak buat lawak, jadi tidak perlulah ketawa terbahak-bahak begitu. Saya yakin awak suka saya, sebab itu awak selalu sakat saya. Sebab itu juga awak selalu ambil gambar saya.” Kesimpulan ini Zara ambil berdasarkan pembacaannya. Sebelas tip si dia menyukai kamu; begitulah tajuk artikel yang dibacanya.
Sebenarnya, bukanlah niat Zara untuk perasan Tengku Muiz ada hati dengannya. Malah, ketika tertarik untuk membaca artikel itu, langsung tidak ada nama Tengku Muiz dalam fikirannya. Namun, entah mengapa, apabila dia membaca tip nombor 10 dan 11, dia terus teringatkan layanan Tengku Muiz kepadanya.
Tip nombor 10 berbunyi begini: Adakah si dia sering meluahkan kata-kata yang menjengkelkan sehingga kamu rasa mahu tempeleng muka dia? Itu bermaksud si dia sebenarnya cuba menarik perhatian kamu, tetapi dengan cara menyakiti hati kamu.
Tip nombor 11 pula berbunyi begini: Adakah si dia sering melakukan tindakan yang menjengkelkan sehingga kamu rasa mahu tempeleng muka dia sekali lagi? Itu bermaksud si dia sebenarnya terus bergigih mahu menarik perhatian kamu, tetapi dengan cara menyakiti hati kamu.
Bukankah tip nombor 10 dan 11 ini sangat sesuai dengan apa yang berlaku? Bukan salah Zara kalau dia perasan. Salahkan penulis tip itu yang sudah menimbulkan salaha faham.
Jadi, sebenarnya awak memang suka saya, ya?” Zara pun tidak pasti kenapa dia mengulang tanya. Bukanlah dia akan melompat keriangan ataupun menangis terharu kalau Tengku Muiz mengiakan. Malah Zara tidak berminat pun mahu tahu. Sekali lagi, salahkan penulis tip kerana kesimpulannya ditulisnya yang mendorong Zara.
Kesimpulannya, tarik nafas dalam-dalam, beranikan diri. Bersemuka dan tanya sahaja kepada si dia yang menjengkelkan itu. Dapatkan kepastian adakah si dia memang suka kamu. Kalau si dia suka kamu, maka bolehlah ditimbangkan mahu balas perasaan itu, ataupun hancurkan sahaja hati dia. Kalau si dia tidak suka kamu, suruh si dia berhenti menyakat kamu kerana tindakannya tidak kelakar. Tetapi, sebenarnya, kalau dia tidak penting, abaikan sahaja. Teruskan hidup kamu dan anggap sahaja dia seperti bunyi enjin kereta yang sesekali singgah di pendengaran kamu, tetapi tidak mengganggu hidup kamu. Bukankah itu lebih mudah?
Hidup ini terlalu singkat untuk dibazirkan dengan memberi perhatian kepada orang yang tidak penting apatah lagi tiada dalam senarai lelaki soleh dan sedap mata memandang, yang mungkin sesuai dipertimbangkan menjadi suami hingga ke syurga.
Alamak, Zara lupa pula pada kesimpulan yang panjang lebar itu. Sepatutnya Zara abaikan sahaja. Bukankah Tengku Muiz tidak termasuk dalam senarai lelaki soleh dan sedap mata memandang, yang mungkin sesuai dipertimbangkan menjadi suami hingga ke syurga? Masalahnya, wujudkah senarai itu untuk Zara?
Tiba-tiba rasa hendak ke tandas. Muka Zara sudah berpeluh. Tidak tergamak mahu memikirkan jawapan Tengku Muiz. Nampaknya Zara perlu kekal serius dan teruskan juga. Kalau tidak, dia yang malu besar!
Kenapa diam? Betul, ya?” Zara tidak ada pilihan. Terus menyerang supaya pihak lawan tidak sempat membalas.
Tengku Mira yang duduk di sebelah Tengku Muiz sudah tersenyum lebar. “Betulkah awak suka Zara?”
Tengku Muiz mendengus. “Merepek.” Hanya sepatah yang dijawabnya. Suaranya kedengaran gugup. Walaupun dia cuba ketawa lagi, terasa kekok. Malu, ataupun tekaan Zara mengena?
Dalam hati, Zara sudah melonjak girang. Kalaupun tidak betul, dia terasa seperti sudah berjaya mengenakan dan memalukan Tengku Muiz. Mujur juga Tengku Muiz tidak memberikan respons yang hanya akan membuatkan Zara rasa mahu menyorok di bawah meja.
Pantas dia bersuara dengan mimik muka yang dibuat-buat sedih, “Terima kasih di atas perhatian yang awak berikan kepada saya, tetapi saya minta maaf banyak-banyak. Bukan awak orangnya... lagipun, kita muda lagi.” Di hujung kata, dia tersengih lebar lalu menyambung, “Walau apa pun yang terjadi, kita tetap bersaudara. Air yang dicencang tidak akan putus.”
Bukanlah... bukan begitu maksud saya. Awak salah faham...” Beria-ia Tengku Muiz menafikan.
Zara sudah bangun daripada kerusi. Mahu ke meja hidangan dan mengambil makanan lagi. Lebih panjang sesi itu, bimbang dia pula yang dimalukan nanti. “Tidak perlu jelaskan apa-apa. Kita anggap sahaja perbualan ini tidak pernah ada okey. Rahsia awak selamat dengan saya. Oh, saya yakin Tengku Mira pun akan simpan rahsia.”
Tengku Mira yang tersengih-sengih mengangguk kepala. “Ya, abang kesayangan hamba, tidak perlu risau. Kami akan jaga rahsia ini, seperti menjaga nyawa kami sendiri.” Ketawanya meledak. Ketawa pun kedengaran manis dan ayu? Alahai, cemburunya Zara dengan Tengku Mira.
Rancak betul berbual? Apa yang gembira sangat?” Teguran Adam buat sengihan Zara semakin melebar.
Nanti saya cerita ya,” balas Zara. Matanya sempat memandang Tengku Muiz seketika dengan pandangan yang boleh ditafsirkan sebagai; saya menang.
Merah dan terasa panas muka Tengku Muiz. Selalunya, dia yang mengenakan Zara. Kali ini, dia seperti hilang kata untuk membidas kata-kata Zara. Geram betul!
Masalahnya, kenapa dia gagal menepis tuduhan syok sendiri itu? Adakah ini bermaksud memang dia suka Zara? Tengku Muiz suka Zara? Suka yang dalam erti kata suka lelaki kepada perempuan? Suka yang konon-konon mahu hidup bersama, susah senang bersama di dunia hingga ke syurga? Suka yang itu?

Oh, Tuhan! Benarkah begitu?

Monday, March 3, 2014

E-Novel Puteri Zara: Prolog


Betulkah apa yang kamu katakan ini? Kamu yakin dengan keputusan yang dibuat? Yakin tanpa sebarang keraguan? Beginilah, beta beri kamu masa untuk fikirkan semula.” Kata-kata dan senyuman sinis Raja Zahariah terpahat dalam ingatan.
Tidak perlu. Keputusan saya muktamad. Saya tidak akan tarik semula.” Angkuh sungguh jawapan Zara. Memang tidak sesekali dia mahu kelihatan lemah di hadapan nendanya. Malangnya kerana keangkuhan itu, kini dia terperangkap. Kasihan Zara.
Hari yang tenang. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Zara duduk sendirian di taman diraja. Berusaha menikmati pemandangan indah ciptaan Tuhan. Sepatutnya memang menenangkan berada dalam suasana begitu.
Sayang seribu kali sayang, tidak terasa pula damai itu dalam hatinya. Mengapa sukar untuk si puteri bertenang dan menikmati hidup?
Bagaimanalah hati si puteri mahu tenang pada saat seluruh hidupnya akan berubah. Tiga hari sudah berlalu sejak Zara dengan terburu-buru dan tanpa berfikir panjang meluahkan kata-kata yang sangat dikesalinya. Aduhai! Sudah beribu kali, mungkin juga beratus ribu kali Zara memarahi dirinya sendiri.
Mengapa, mengapa, dan mengapa sampai terlepas kata? Mengapa, Puteri Zara! Mengapa tidak berhati-hati ketika berbicara? Mengapa tidak berfikir panjang sebelum meluahkan bait butir yang akhirnya hanya menjerat diri sendiri? Mengapa? Oh, dia rasa mahu hantuk kepala sendiri ke dinding.
Masalahnya, kalau Zara hantuk kepala ke dinding, mungkin berdarah, ataupun bengkak, lebih teruk, kalau hentakannya kuat sangat ada darah beku pula nanti. Masalah lain pula akan muncul. Dia tidak tergamak pula memikirkan bagaimana keadaan dirinya kalau cedera. Berdosakah dia kerana mencederakan diri sendiri? Pasti gempar bukan setakat Istana Mawarni tetapi kecoh seluruh Armani.
Maka akan bertebaranlah gosip-gosip liar mengatakan emosi Zara tidak stabil lalu mengambil tindakan yang sangat tidak bijak dan banyak spekulasi akan timbul. Kisah Zara akan dianalisis dan dibuat kesimpulan oleh pelbagai pihak. Keadaan akan jadi lebih rumit. Baiklah, kesimpulannya hantuk kepala ke dinding tidak akan menyelesaikan masalah.
Paling penting, menyalahkan diri berjuta kali pun, nasi sudah jadi bubur. Mahu tidak mahu, Zara terpaksa terima hakikat yang terbentang luas. Disebabkan mulutnya yang terlalu petah berkata-kata, maka akan berubahlah seluruh hidupnya. Oh, Tuhan!
Itulah, cakap siang pandang-pandang. Terlajak perahu dapat diundur, terlajak kata, meranalah badan, meraunglah jiwa raga. Selamat tinggal kehidupan senang-lenang di dalam istana. Selamat tinggal kehidupan penuh glamor sebagai puteri raja! Selamat tinggal semuanya!
Degup jantung melaju. Otot-otot Zara terasa menegang. Nafas Zara laju dan peluh memercik di dahi dan mungkin juga... ketiak. Nampaknya signal daripada otak sudah diberi dan hormon adrenalin sudah dihasilkan oleh kelenjar adrenal. Stres, Zara binti Muhammad sedang dilanda stres tahap maksimum!
Zara menekup mukanya, menggeleng berkali-kali. Puting beliung sedang menyerang hatinya. Juga fikirannya. Sakit kepala dibuat. Bawa bertenang, Zara. Nafas ditarik dalam, dihembus perlahan. Diulang beberapa kali tindakan yang sama. Tiada guna mempersoalkan lagi perkara yang sudah berlaku. Gunakan sepuluh peratus masa bagi memikirkan masalah. Sembilan puluh peratus lagi bagi menyelesaikannya. Baiklah, Zara akan fikirkan penyelesaiannya. Masalahnya, apakah langkah yang perlu diambil sebagai solusi yang paling tepat dan berkesan supaya hidup Zara kembali kepada sedia kala?
Meraung, menangis teresak-esak sampai bengkak mata, mungkin akan merubah semuanya. Mungkin perubahan yang sepatutnya berlaku itu dapat ditahan. Ya, mungkin. Si ibu pasti tidak sampai hati. Si ayah pasti simpati. Si adik pasti susah hati. Lalu tiga talian hayat ini akan membantu Zara untuk melepaskan diri daripada ikat kata yang dilafazkan. Ya, tangisan Zara adalah langkah penyelesaiannya.
Masalahnya, jatuhlah standard Zara nanti! Tercalar imej Zara yang konon-kononnya orang yang berprinsip, berpegang pada janji. Orang yang punya maruah diri yang tinggi. Orang yang cakap serupa bikin. Pasti dia jadi bahan jenaka Raja Zahariah. Zara sudah dapat membayangkan sindiran demi sindiran yang akan meniti dari bibir nendanya itu.
Sekiranya tiada kata-kata, senyuman sinis Raja Zahariah pun sudah cukup menyakitkan hati Zara. Sudah cukup sebagai isyarat betapa rendahnya martabat Zara di mata nendanya itu. Senyum sinis yang membawa maksud, Sudah agak, kamu memang cakap sahaja macam bagus, padahal umpama tin kosong.
Ataupun kadangkala begini maksudnya, Oh Tuhan, bagaimana saya boleh ada cucu begini? Buat malu keluarga diraja sahaja. Ataupun mungkin boleh ditafsirkan juga begini, ‘Lain kali jangan angkuh sangat, sekarang tidak fasal-fasal menagih simpati. Hmm... apalah hendak jadi dengan cucu yang satu ini. Betulkah dia cucu saya? Entah-entah...
Zara tidak rela dipandang rendah, apatah lagi oleh nendanya. Tidak sama sekali! Biarpun dua tahun sudah berlalu, entah mengapa Zara tetap berprasangka. Mungkin kedinginan Raja Zahariah membuatkan Zara merasakan nendanya itu masih belum dapat menerima hakikat Zara adalah cucunya. Zara yang di matanya tidak memiliki aura sebagai puteri raja. Kasihan sungguh Puteri Zara, bukan puteri terpilih. Hmm....
Jadi, bagaimana mahu mengubah keadaan tanpa buat dia malu sendiri? Zara hilang punca. Ada sesiapa yang dapat bantu? Tolonglah muncul dan jadi penyelamat Zara. Si puteri raja ini sedang terdesak tahan maksimum! Pada saat begini, Zara berharap putera impian muncul bawa pedang. Okey, pedang tidak sesuai, bukannya nyawa Zara terancam. Mungkin patut bawa duit. Ya, duit ataupun jongkong emas berpeti-peti. Wah!
“Puteri Zara, fokus. Sila jangan berangan dan berharap yang bukan-bukan. Masalah tidak dapat diselesaikan dengan angan-angan,” Zara memarahi dirinya sendiri.
Masa terus berlalu. Sedetik demi sedetik.
Tidak! Dia berharap masa berhenti. Biar semuanya membeku. Dia mahu keadaan kekal begini sahaja. Sesungguhnya Puteri Zara binti Raja Muhammad tidak bersedia kehilangan segala-galanya! Dia tidak rela sama sekali! Titik!

Tetapi, bagaimana mahu memastikan Zara tidak kehilangan segala-galanya?