Friday, December 9, 2011

Sedang menulis...

Hai kawan-kawan! Wah, lama sungguh saya tidak mengemas kini entri di blog ini. Sudah berhabuk. Maklumlah, saya tidak ada cerita baru mahu dikongsikan.

Tetapi hari ini... jeng... jeng... jeng...

Sekadar mahu berkongsi sedikit (memang baru tulis banyk ini sahaja pun!) kisah daripada manuskrip baru yang sedang ditulis.

Hari yang tenang. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Zara duduk sendirian di taman diraja. Berusaha menikmati pemandangan indah ciptaan Tuhan. Sayang seribu kali sayang, tidak terasa pula damai itu dalam hatinya. Mengapa, ya?
Bagaimanalah hati si puteri mahu tenang pada saat seluruh hidupnya akan berubah. Tiga hari sudah berlalu sejak Zara dengan terburu-buru dan tanpa berfikir panjang meluahkan kata-kata yang sangat dikesalinya. Aduhai! Sudah beribu kali, mungkin juga beratus ribu kali Zara memarahi dirinya sendiri. Mengapa, mengapa, dan mengapa sampai terlepas kata? Mengapa!
Tiada guna mempersoalkannya lagi. Menyalahkan diri berjuta kali pun, nasi sudah jadi bubur. Terlajak perahu dapat diundur, terlajak kata, inilah jawabnya. Selamat tinggal kehidupan senang-lenang di dalam istana. Selamat tinggal kehidupan penuh glamor sebagai puteri raja! Selamat tinggal semuanya!
Zara menekup mukanya. Puting beliung sedang menyerang hatinya. Juga fikirannya. Sakit kepala dibuat. Meraung, menangis air mata mungkin akan merubah semuanya. Masalah, jatuhlah standard Zara nanti! Oh, bagaimana mahu mengubah keadaan tanpa buat dia malu sendiri? Zara hilang punca. Ada sesiapa yang dapat bantu?
Masa terus berlalu. Sedetik demi sedetik.
Tidak! Dia berharap masa berhenti. Biar semuanya membeku. Dia mahu keadaan kekal begini sahaja. Sesungguhnya Puteri Zara Binti Raja Muhammad tidak bersedia kehilangan segala-galanya! Dia tidak rela sama sekali!



Doakan saya supaya dikurniakan idea yang mencurah-curah dan kerajinan tahap maksimum ya! Terima kasih semua!