Monday, March 31, 2014

E-Novel Puteri Zara: Bab 10

Aina bergegas menuju ke pintu. Bunyi loceng berterusan, bertalu-talu, membingitkan rumah teres satu tingkat itu. Tanda ada tetamu yang tidak diundang sedang menunggu pintu dibuka. Bunyi yang bermula semasa dia sedang solat asar. Mujur juga dia sudah pada rakaat terakhir.
Muka pintu dikuak. Pantas Aina melangkah menuju ke pintu pagar yang bermangga. Sengaja dikunci biarpun ada orang di rumah. Zaman sekarang, bahaya sukar dijangka. Siang malam, risikonya tetap ada.
Lambatnya. Berpeluh-peluh saya menunggu awak.” Tanpa salam mahupun, tetamu tidak diundang memulakan bebelan.
Aina tersengih. “Maaf, saya solat tadi. Assalamualaikum. Tuan puteri apa khabar?” Lembut suaranya, langsung tidak ada tanda-tanda dia terasa hati dengan sikap kasar tetamu itu. Alah bisa tegal biasa. Sudah masak benar dia dengan sikap tuan puteri.
Pintu pagar diselak. Pantas si tetamu yang kepanasan melangkah laju. Beg roda besar berwarna merah jambu ditinggalkan begitu sahaja di luar pagar. Lalu Aina tanpa disuruh menarik beg itu. Tidak mungkin mahu dibiarkan sahaja di luar pagar. Sekiranya hilang, mahu berantakan, bukan setakat di rumah teres itu, malah seluruh taman kerana raungan si puteri. Tidak semena-mena, menimbulkan panik dan tanda tanya pula.
Sebaik sahaja Aina sampai di muka pintu, arahan diterima.
Buka kipas. Panas betul. Rumah ini tidak ada pendingin hawa? Nanti pasanglah satu di ruang tamu.” Zara sudah duduk di atas sofa, tanpa perlu dipelawa. “Penatnya saya. Tadi saya ambil teksi dari KLIA. Mulanya mahu naik limousin, tetapi rasa tidak berbaloi pula mahu bayar mahal. Jadi, saya ambil teksi biasa sahaja. Itu pun mahal juga. Hampir pengsan saya melihat rupa teksi itu. Bunyi enjinnya aduhai. Sudah jatuh ditimpa tangga, pendingin hawa teksi rosak pula. Buka tingkap, angin kuat, herot-berot tudung saya dibuatnya.” Panjang rungutan Zara.
Aina yang secara paksa rela menjadi pendengar setia menekan suis kipas. “Rumah sewa, biasalah. Kalau ada pendingin hawa, semakin tinggi pula sewa yang diletakkan.” Dia kemudiannya meletakkan beg roda merah jambu Zara di tepi sofa. Senyum lagi.
Daripada duduk, Zara berbaring pula. “Haus betul saya. Ada jus oren? Letak ais, ya. Saya mahu sejukkan tekak dan badan.” Mata ditutup. Kepalanya dipicit-picit. Terasa seperti baru selesai merentas desa sejauh 40 kilometer. Ya, bukan 4 mahupun 14 kilometer, tetapi 40 kilometer. Begitulah taraf keletihan yang Zara rasakan saat itu. Biasalah, puteri raja terlebih dos mengada-ngada.
Jus oren tiada. Jus epal, jus tembikai, jus mangga, jus durian belanda, semua pun tiada. Hanya ada sky juice. Boleh?” Sebelum ditanya, Aina terlebih dahulu memberitahu. Sudah maklum benar senarai minuman kegemaran tuan puteri.
Tanpa membuka mata, Zara menjawab, “Hmm... bolehlah. Bukannya saya ada pilihan lain.”
Aina meninggalkan Zara sendirian. Seketika, dia membuka mata lalu kembali duduk apabila teringatkan sesuatu. Pantas dia mengambil telefon bimbit dari dalam beg yang digalasnya tadi.
Mama, saya sudah sampai ke rumah Aina. Jangan risau.
Mesej ditaip lalu dihantar menggunakan aplikasi WhatsApp.
Okey.
Itu sahaja? Hanya satu perkataan? Keluhan panjang dilepaskan. Zara memandang skrin telefon bimbit yang dipegangnya. Satu saat, dua saat, tiga saat. Matanya terus melekap pada skrin. Masih berharap ada mesej seterusnya.
Harap maaf, tiada. Ya, sungguh mendukacitakan. Fikirnya tadi, ibunya akan terus menelefonnya. Paling tidak pun, menghantar mesej yang berjela-jela, melahirkan kerinduan dan pesanan supaya dia menjaga diri. Ternyata sangkaan ataupun lebih tepat dikatakan sebagai harapan Zara, tidak kesampaian.
Tidak semena-mena mata Zara berkaca. Sayu pula rasa dalam hati. Tidakkah si ibu merindui anak perempuan tunggalnya ini? Tidakkah si ibu bimbang mengenangkan nasib anak perempuan tunggalnya ini yang samar-samar? Tidakkah si ibu mahu bertanya bagaimana Zara menghadapi beberapa jam ini seorang diri?
Beberapa jam yang penuh syahdu kerana Zara terpaksa meninggalkan Armani, meninggalkan Istana Mawarni, dan meninggalkan bilik tidur mewahnya disebabkan ada janji yang perlu ditepati? Beberapa jam yang mendebarkan kerana inilah kali pertama Zara menaiki kapal terbang seorang diri, dan akan menghadapi masa depan yang tidak pasti. Bukankah pagi tadi ibunya hampir-hampir menahan dia daripada pergi? Hanya beberapa jam berlalu, sudah tidak kisah? Amboi, sampai hati! Hati Zara bagaikan dihempuk berulang kali.
Aina muncul kembali menatang dulang yang diletakkan gelas berisi air kosong dan piring berisi anggur. Diletakkan dulang itu di atas meja. “Minumlah.”
Telefon dalam genggaman diletakkan di atas meja. Pantas tangan Zara mencapai gelas lalu meneguk air dengan rakus seolah-olah sudah lima hari lima puluh lima minit dan lima saat dia tidak minum air. Kosong gelas hanya dengan tiga kal teguk. Anggur dalam piring diambil segugus.
Tuan puteri sudah makan nasi?” tanya Aina yang akhirnya dapat juga melabuhkan punggung di sofa.
Zara mengangguk. “Tadi di dalam kapal terbang, saya sudah makan. Aina, di sini tidak perlu panggil puteri. Panggil Zara sahaja. Lagipun saya tidak mahu orang tahu identiti saya.”
Walaupun ketika kita berdua tanpa orang lain?” tanya Aina.
Zara mengangguk sambil mulutnya terus mengunyah anggur. Anggur yang dikeringkan iaitu kismis, adalah salah satu buah kesukaan Nabi Muhammad SAW. Mengikut hadis yang direkodkan oleh Abu Daud, Nabi Muhammad SAW kerap menyimpan kismis yang direndam di dalam air. Beliau akan meminumnya pada hari itu juga, ataupun diminum pada keesokan harinya, dan kadangkala pada hari berikutnya.
Buah anggur mengandungi antioksidan yang tinggi, yang diperlukan untuk melawan radikal bebas. Antara khasiat buah anggur termasuklah untuk mencegah kanser, strok, Alzheimer, dan untuk awet muda.
Ya, untuk membiasakan diri dan supaya kita tidak terlepas cakap di hadapan orang lain.” Mata Zara meliar, memerhati ke sekitar rumah.
Aina mengangguk. “Baiklah, kalau tuan puteri sudah kata begitu.”
Berapa orang tinggal di rumah ini? Ada berapa bilik?” tanya Zara sambil terus mengunyah anggur. Memang tidak langsung menjaga kesopanan sebagai puteri.
Termasuk saya ada tiga orang. Rumah ini ada tiga bilik,” beritahu Aina.
Tiga bilik sahaja? Maksudnya saya perlu berkongsi bilik? Hmm... siapa yang duduk di bilik utama? Bilik itu bersambung terus dengan bilik air?” tanya Zara lagi.
Saya yang duduk di bilik utama. Ya, bilik air ada di dalam bilik,” akui Aina.
Bagus, saya mahu duduk di bilik utama. Senang mahu guna bilik air. Kalau saya suruh awak pindah, dan berkongsi bilik dengan orang lain, macam tidak patut pula. Tidak mengapalah, kita berkongsi bilik.” Zara bangun. “Tunjukkan saya biliknya. Saya mahu berehat di dalam bilik.”
Aina tersenyum lagi. Arahan demi arahan, maklumlah puteri rajalah katakan. Mujur Aina sudah dilatih supaya mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Sekiranya orang lain, mungkin Zara sudah dihalau keluar bersama beg roda merah jambu yang beratnya seperti penuh diisi batu-bata.
Mari saya tunjukkan.”
Baru selangkah, Zara berpatah kembali. Tidak, bukan untuk mengangkat beg rodanya, sebaliknya untuk mencapai segugus lagi anggur. Kali ini, bukan sahaja beg roda, beg galas juga dibiarkan sahaja. Alahai, puteri seorang ini, buruk sungguh perangai. Nampaknya kali ini Aina perlu uruskan dua beg tuan puteri. Mujur biliknya hanya sekangkang kera.
Puteri mahu solat dahulu?” tanya Aina. Pintu bilik dikuak.
Zara menggeleng. “Saya sudah solat jamak takdim dan qasar tadi semasa tiba di KLIA. Saya mahu mandi dan berehat.” Menyedari sesuai, Zara separuh menjerit, “Alamak! Adakah ini bermaksud kita perlu berkongsi katil?” Pandangannya mati pada katil saiz queen di dalam bilik itu. Satu-satunya katil yang ada di dalam bilik yang sederhana besarnya.
Tidak mengapalah kalau tuan puteri keberatan. Saya boleh tidur di atas lantai, saya ada toto sebagai alas.” Sayu pula suara Aina pada pendengaran Zara.
Sekiranya Zara tergamak membiarkan Aina beralah, memberikan katil yang bertilam empuk kepada Zara, dan membiarkan diri sendiri tidur beralas toto nipis di atas lantai, maka tanpa syak lagi, Zara bukan sahaja puteri raja yang terlebih dos manja, tetapi juga layak mendapat gelaran puteri raja paling kejam, tidak berhati perut, dan yang paling penting, tidak tahu malu.
Bukankah saya sudah kata, tidak perlu panggil tuan puteri kalau bukan di dalam istana,” tegur Zara, mengingatkan.
Aina tersengih, “Maaf, saya tersasul.”
Zara melabuhkan punggung di hujung katil yang tersarung cadar dengan corak yang sangat tidak menepati cita rasanya. Dia sudah berkira-kira mahu membeli cadar lain yang sedap matanya memandang, namun sepantas kilat dia menghapuskan niatnya apabila teringatkan misinya mahu mengumpul duit, dan bukan menghabiskan duit.
Walaupun saya memang tidak suka berkongsi tempat tidur dengan orang lain, tetapi saya tidaklah sekejam itu. Kita berkongsi katil dan gunakan bantal sebagai pengadang. Tidak mengapalah, saya akan pujuk hati supaya bersabar dengan ketidakselesaan ini, asalkan awak tidak masuk sempadan. Okey, saya mahu mandi.” Dalam erti kata lain, Aina, sila keluar, Zara perlukan privasi.
Baiklah, saya keluar dahulu. Kalau perlukan apa-apa lagi, beritahu ya.”
Zara tidak bersuara lagi. Matanya memerhati sekitar bilik. Nampaknya dia perlu memujuk hati supaya bersabar dengan saiz bilik itu yang besar sedikit ataupun mungkin lebih kecil daripada bilik pakaiannya di Istana Mawarni. Ya, Zara rasa memang lebih kecil. Kalau mahu dibandingkan dengan bilik tidurnya, maka jauh panggang daripada api. Maklumlah sudah dua tahun dia terbiasa bermewah dengan bilik yang seperti dewan sekolah, pastinya dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri.
 ‘Bertabahlah, wahai hati!

2 comments:

aisyah syahindah said...

Assalamualaikum, saya peminat novel kak. Akak, kenapa terus e-novel bab 10? mana bab 2-9?

aisyah syahindah said...

Kak, kenapa e-novel puteri zara bab 10? mana bab 2-9?