Wednesday, March 5, 2014

E-Novel Puteri Zara: Bab 1

Cantiknya tuan puteri malam ini.”
Oh, alangkah seronok kalau saya dapat memiliki gaun secantik ini.”
Tuan puteri nampak berbeza malam ini. Terpukau saya melihat wajah tuan puteri yang berseri-seri. Apakah rahsianya? Harap tidak keberatan untuk berkongsi dengan saya.”
Tuan puteri, tolonglah saya! Saya mahu jadi seperti tuan puteri yang cun melecun. Tolong berikan tip terbaik dan berkesan dalam tempoh tiga hari kepada saya. Kalau berkesan dalam tempoh 24 jam lebih baik.”
Zara ketawa kecil, berterusan membayangkan dialog-dialog yang bakal menyapa telinganya. Pujian-pujian melangit yang bakal diterimanya. Suara-suara terdesak yang mahu jadi sepertinya. Amboi, memang melampau angan-angan Zara!
Senyumannya melebar hingga nampak gusi. Terlalu teruja memandang pantulan dirinya sendiri pada cermin besar yang menghiasi dinding bilik pakaiannya. Tanda puas hati dengan penampilan dirinya. Ya, dia yakin dia sudah melakukan yang terbaik kali ini. Dalam banyak-banyak pakaian, dia yakin pilihannya itu tepat. Gaun potongan puteri yang dipakainya itu yang tercantik untuk majlis malam ini. Gaun chiffon berwarna violet itu rekaannya ringkas, tetapi elegan memang sesuai dengannya. Kasut bertumit sederhana tinggi yang dipakainya direka khas dan sedondon dengan gaun itu.
Senang kata, memang satu set pakaiannya direka khas untuk saling melengkapi. Biar nampak sedondon, seia, dan sekata. Kali ini, dia berpuas hati dengan prestasi pereka fesyen dan perunding imejnya. Dia yakin, usaha kali ini tiada cacat celanya.
Ya, Puteri Zara binti Raja Muhammad yakin penampilannya akan memukau setiap mata yang memandang. “Sempurna,” bisik Zara. Dia berlatih berjalan di dalam bilik pakaian.
Ya, saya tahu penampilan saya malam ini sungguh menawan. Terima kasih di atas pujian yang diberikan.”
Oh, saya tidak ada apa-apa rahsia. Saya hanya menggunakan produk warisan turun-temurun keluarga diraja. Selebihnya, saya hanya menjaga makan dan selalu bersenam. Hasilnya, seperti yang kamu dapat lihat. Kulit saya gebu dan licin. Badan saya pula sedang-sedang sahaja. Tidak terlalu kurus, tidak terlalu gemuk. Pendek kata, sedap mata memandang.” Penerangan panjang lebar itu diikuti dengan ketawa ala-ala manja dan malu. Hendak kata persis perempuan Melayu terakhir, macam kurang sesuai pula. Lebih tepat, kegedikan tahap sederhana.
Tidak, jangan salah faham. Semua kata-kata pujian dan jawapan syok sendiri itu bukan angan-angan kosong. Zara sedang berlatih. Dia yakin malam ini, dia akan dilimpahi dengan tumpuan yang tidak berbelah bahagi. Jadi, dia perlu bersedia supaya sesi puji-memuji nanti berjalan lancar. Sekurang-kurangnya itulah yang Zara fikir. Alahai, kasihan si puteri yang memang tidak dapat dinafikan lagi, menggunung dan melaut betul harapannya mahu menjadi puteri idola rakyat jelata.
Tersengih-sengih, dia berpusing beberapa kali di hadapan cermin besar itu, sambil tangannya memegang bagi mengembangkan lagi gaunnya. Terus berkhayal dan memuji diri sendiri. Memang kalau berada dalam bilik itu, kerjanya berangan dan berangan tentang penampilan diri seorang puteri raja.
Dalam tempoh dua tahun ini, Zara memang sangat suka berada di dalam bilik itu. Masanya banyak dihabiskan di situ. Mana tidaknya, bilik itu umpama mimpi jadi nyata. Bilik itu bukan sebarang bilik. Bilik yang bercantum dengan bilik tidurnya itu menempatkan berpuluh-puluh, malah mungkin beratus-ratus pakaian.
Gaun, jubah, baju kurung, blaus, dan seluar. Namakan sahaja. Semua ada, pelbagai warna, pelbagai jenis material. Rak kasut yang dibina melangit pula menempatkan beratus-ratus pasang kasut pelbagai reka bentuk jenis, dan warna.
Di dalam bilik itu juga, ada pelbagai jenis aksesori lain untuk dipadankan dengan setiap pakaian. Gelang, mahkota, beg, dan tali pinggang. Tudung, selendang, dan ya, stoking... pelbagai warna, ada yang bercorak, banyak yang polos juga mungkin beratus-ratus helai. Pendek kata serba serbi lengkap.
Itulah bilik kegemaran Zara. Setiap kali melangkah ke dalam bilik itu, Zara akan tersenyum lebar, mengingatkan dirinya, “Sayalah puteri raja!”
Puteri Zara, sudah tiba masanya.” Teguran itu mematikan lamunan Zara. Dia melihat cermin buat kali terakhir, mahu memastikan sekali lagi selendangnya tidak senget, gaunnya terletak cantik. Selepas berpuas hati dengan penampilannya, Zara melangkah penuh yakin diiringi si dayang. Yakin? Okey, tipu. Tidaklah sangat. Buat-buat yakin, mungkin.
Malam ini, ada kenduri di istana. Bukanlah kenduri besar-besaran. Hanya majlis doa selamat dan makan malam keluarga diraja. Memang acara sebulan sekali, bagi merapatkan silaturahim. Keluarga Tengku Muiz dan Tengku Mira, kerabat kembar diraja turut diundang. Maklum sahaja, hubungan yang pernah renggang, kini kembali rapat sesudah salah faham sekian lama terlerai.
Dipendekkan cerita, kenduri ini acara rutin, subjek utama bukan Zara si puteri raja. Bukan dia orang yang diraikan. Tetapi, biasalah, setiap kali ada majlis Zara akan berusaha gigih untuk memastikan dia tampil menarik. Dia akan memastikan pakaian yang dipakainya serba-serbi baru. Dia mahu sentiasa tampil menarik dan menawan.

Mengapa saya lihat awak semakin gemuk?”
Zara cuba tersenyum. Kelat. Merah mukanya, menahan rasa geram yang menerpa segenap ruang hatinya. Nampaknya dia memang berjaya mencuri tumpuan. Sayang seribu kali sayang, bukan itu sapaan yang diharap Zara, dan sudah pasti bukan sapaan daripada lelaki itu. Namun, seperti selalu lelaki itu memang gigih mahu menukarkan hari Zara yang cerah menjadi kelam.
Baju yang dipakai direka oleh pereka fesyen terbaik. Penampilannya malam itu atas nasihat perunding imej terbaik. Senang-senang sahaja Tengku Muiz menidakkan penampilannya pada malam itu. Dia fikir dia siapa mahu mencalarkan emosi Zara dengan soalan kejam tanpa berlapik?
Assalamualaikum, Tengku Muiz.” Suara Zara bergetar. Muka yang mula merah cuba ditenangkan dengan senyuman yang memang boleh dilihat dibuat-buat dan tidak ikhlas. Senyum paksa rela.
Tengku Muiz ketawa kecil. Sedar dirinya disindir. Disertakan sengihan yang melebar, dia membalas, “Waalaikumussalam, Puteri Zara. Apa khabar, tuan puteri?”
Belum sempat Zara menjawab, Tengku Muiz terus menyambung bicara, “Oh, tidak mengapa. Tidak perlu dijawab soalan patik. Melihat diri tuan puteri, patik pacal yang hina sudah tahu jawapannya. Tuan puteri berada dalam keadaan sihat walafiat, malah seperti dipam-pam. Patik yakin, tuan puteri sudah bertukar saiz baju, dan itu sudah cukup untuk menunjukkan betapa sejahteranya keadaan tuan puteri.” Tersengih-sengih lagi. Amboi, bukan main galak dia menyindir. Panjang lebar, tanpa segan silu lagi.
Zara yang mendengar sudah panas telinga. Mujur sahaja tidak nampak kepulan asap keluar daripada telinga yang ditutup dengan hijab. Tangannya yang rapat di sisi tubuh, sudah menggenggam penumbuk. Ya, kalau diikutkan amarah dalam hati, mahu dihadiahkan sahaja penumbuk ke muka Tengku Muiz. Biar muka putih itu memerah, kemudian membiru. Biar bengkak dan lebam. Kalau cukup kuat, berdarah. Biar tercemar muka yang layak jugalah dikategorikan sebagai kacak. Barulah Zara puas hati.
Oh, tidak. Jangan salah faham pula. Wajah Tengku Muiz, tidaklah kacak sekacak-kacaknya. Sederhana kacak sahaja. Bukanlah Zara mahu memuji musuhnya itu. Seribu kali dia tidak sudi sama sekali. Masalahnya, kenyataan tetap kenyataan. Kenyataan nombor satu, Tengku Muiz sederhana kacak. Kenyataan nombor dua, Zara rasa mahu tumbuk muka lelaki yang menjengkelkan itu.
Namun, sebagai puteri raja, dia perlu menjaga tingkah laku. Sopan santun, lemah lembut, tinggi budi pekerti, pijak semut pun tidak mati, bukankah semua itu sifat mulia lagi terpuji yang diharapkan ada pada seorang puteri raja?
Sekiranya dia hilang kawalan, nama siapa yang tercemar? Imej siapa yang akan jadi buruk? Pastinya bukan nama Tengku Muiz. Nama Zara juga yang akan terpapar pada muka hadapan surat khabar. Pasti ada laporan kronologi kejadian, ada latar belakang subjek, ada ulasan orang politik, pereka fesyen, dan rakyat jelata. Senang kata, pelbagai artikel ditulis daripada banyak sudut.
Bukan sekali, bukan dua kali, tetapi akan diulang berkali-kali, dan bertahun-tahun. Biasalah, manusia memang suka mengungkit dan mengenang perkara tidak elok yang dilakukan oleh orang lain. Zara sudah dapat membayangkan tajuk-tajuk yang akan digunakan bagi melariskan jualan surat khabar, esok, lusa, tulat, dan hari-hari mendatang.
Hangat lagi sensasi, Puteri Zara berkasar dengan kerabat diraja!
Tidak beradab, Puteri Zara mencederakan kerabat diraja?
Tumbukan seorang puteri?
Hilang sudah kelembutan Puteri Zara yang memang sedikit.
Puteri Zara mencederakan orang?
Puteri Zara berbahaya?
Istana Bergolak: Puteri Zara dan Tengku Muiz kembali bermusuh?
Dendam lama masih membara?
Kerana Zara, keluarga diraja dan kerabat diraja kembali berantakan?
Salah siapa Puteri Zara bertindak kasar?
Ya, mungkin itulah antara senarai tajuk yang akan terpapar. Berita yang buruk memang mudah dapat perhatian. Bukan sahaja di muka hadapan surat khabar, pasti lebih pantas dipaparkan di blog dan laman sosial. Maka, akan berantai-rantailah komen-komen yang diberikan. Komen yang memang tidak menjaga hati. Komen yang bakal membuatkan Puteri Zara mahu meraung dan berkurung di dalam bilik, makan dan makan untuk mengubat luka dalam hati akibat tembakan berdas-das peluru perlian dan sindiran.
Semuanya berkenaan Puteri Zara. Puteri Zara yang gagal menyesuaikan diri. Puteri Zara yang tiada aura puteri. Dan kini, adakah Puteri Zara akan dianggap kaki pukul pula? Oh, tidak!
Jangan ambil hati. Abang saya bergurau sahaja,” satu suara lembut menyampuk. Gadis ayu, pujaan seluruh warga Armani itu sering bertindak sebagai pendamai.
Mata Zara menangkap mata Tengku Mira. Wajah yang tadinya sudah mencuka kembali manis. Senyuman lebar dihadiahkan. “Saya tahu Tengku Muiz cuba berlawak, mahu beramah mesra dengan saya. Bukankah itu memang rutinnya? Malangnya setiap kali pun, cubaannya gagal. Tidak mengapalah, boleh cuba lagi lain kali.”
Pandangan Zara kembali kepada Tengku Muiz. “Usaha lagi, ya. Usaha tangga kejayaan.” Zara menggenggam penumbuk dan melonjakkan tangannya ke langit. “Berusaha!” Mata dikenyit. Ya, penumbuk yang dibayangkan menyapa pipi Tengku Muiz akhirnya hanya menolak angin.
Tengku Muiz hanya menggeleng dalam senyuman. Dia tahu dia kasar. Mulutnya seperti gagal dikawal, ada sahaja sindiran buat si puteri. Kadangkala rasa bersalah juga, namun selalunya hatinya seperti digeletek apabila melihat Zara menggigit bibir menahan geram. Dia rasa seperti mahu menyanyi riang setiap kali melihat Zara menggenggam tangan menahan amarah dek kerana kata-katanya. Keseronokan itu buat dia mahu terus menyakat Zara.
Siapa kata saya bergurau? Saya serius? Jadi, Puteri Zara, bila agaknya mahu menamatkan zaman bermalas-malasan sambil menggebukan badan? Bila mahu sambung belajar? Sudah dua tahun, masih trauma dengan SPA? Kalau ambil diploma, sudah tamat pun. Saya dan Tengku Mira sudah dua tahun bergelar siswa dan siswi. Insya Allah, dua tiga tahun lagi tamat pengajian. Tidak mungkin Puteri Zara mahu tunggu kami tamat pengajian, baru mahu terkedek-kedek sambung belajar?”
Panjang lebar bebelan Tengku Muiz membuatkan Zara terkenang seseorang. Siapa lagi kalau bukan Raja Zahariah, nendanya yang garang dan suka menyindirnya. Nampaknya Tengku Muiz dan Raja Zahariah memang berada dalam pasukan yang sama. Memang senada dan ayat yang keluar daripada mulut mereka pun hampir sama, seia sekata, sehati dan sejiwa dalam usaha menyakitkan hati Zara.
Musykil pula Zara dibuatnya. Siapa sebenarnya cucu Raja Zahariah? Kalaulah Tengku Muiz cucu sebenar, maka Zara bukan puteri raja? Okey, sila abaikan. Zara sudah penat mahu menempuhnya sekali lagi. Cukup-cukuplah. Zara adalah puteri raja. Kembar si pewaris takhta, Putera Mahkota Adam. Muktamad.
Perbualan yang lebih kepada sindiran itu terhenti apabila majlis bacaan doa selamat bermula, diikuti sesi paling disukai Zara. Sesi makan-makan. Mujur ada sesi yang dapat buat Zara lupa seketika kepada kejengkelan Tengku Muiz. Menikmati makan, itu satu cara Zara melupakan jerit perih bergelar puteri raja Armani!
Ya, siapa kata hidup sebagai puteri raja mudah? Siapa kata hidup sebagai puteri raja tidak ada stres? Siapa kata hidup sebagai puteri raja hanya ada riang ria tanpa duka lara? Siapa? Siapa?
Kalau ada yang berkata begitu, maka ternyata orang itu tidak tahu apa-apa. Orang itu sekadar bercakap kosong ataupun mungkin terpedaya dengan pesona cerita dongeng si puteri yang hidup serba mewah dan disayangi semua. Orang itu tidak tahu yang hidup puteri raja pun seperti manusia lain, masam, manis, dan kadangkala masin.
Apatah lagi hidup sebagai Puteri Zara, bukan puteri piihan. Lebih banyak masin daripada manis. Okey, sedih pula apabila mengenangkan hakikat itu. Zara semakin laju menyuap makanan.

Puteri Zara!”
Zara yang mulutnya penuh makanan mengangkat kepala. Flash kamera menyilaukan matanya seketika. Aduhai! Gambar candid dia diambil. Oleh siapa? Wartawan? Maaf, tiada wartawan yang diundang. Ini adalah sesi makan-makan bersama ahli keluarga sahaja. Sesi bersifat tertutup dan peribadi. Jadi, siapa pula yang sibuk-sibuk mahu ambil gambar Zara? Siapa lagi, kalau bukan Tengku Muiz. Bukanlah hendak perasan, tetapi Tengku Muiz memang tidak berseri agaknya hidupnya tanpa menyakat Zara. Adakah ini bermaksud hidup Tengku Muiz kusam dan kelam tanpa kehadiran Zara? Oh tidak! Terasa seperti terpijak ulat bulu, geli-geleman Zara memikirkannya.
Fokus, Zara. Fokus kepada gambar yang... Tidak mungkin gambar yang cantik molek, yang akan membuatkan Zara tersenyum sendirian apabila menatap gambar itu kelak.
Ya, Zara yakin pasti gambar itu memaparkan pipinya yang kembong dek makanan, mulutnya yang berminyak, dan mukanya yang berpeluh-peluh kerana terlalu khusyuk menikmati makanan akan terpapar di laman sosial Tengku Muiz. Kemudian akan berderetanlah komen-komen yang menjengkelkan dan melukakan hati daripada fanatik Tengku Muiz dan haters Puteri Zara. Oh tidak....
Mengapalah Zara terlupa akan kemungkinan yang berlaku itu. Bukan tidak pernah sebelum ini terjadi insiden memalukan.
Tolong delete gambar saya. Lain kali tolong jangan ambil gambar saya. Saya tidak suka awak ambil gambar saya tanpa kebenaran.” Dengan mulut yang penuh berisi makanan, Zara membebel, menegur kelakuan Tengku Muiz yang memang tidak digemarinya itu. Teguran yang bukan kali pertama diluahkan. Sebelum ini, sudah beberapa kali dia menegur tindakan Tengku Muiz yang memang suka ambil gambarnya secara candid. Tolonglah! Zara tahu dia popular, tetapi tidak perlu Tengku Muiz bertindak sebagai paparazi pula.
Relakslah. Jangan marah-marah, nanti cepat tua. Tengok, muka awak sudah ada kedutan.” Seperti selalu juga, Tengku Muiz akan mengabaikan teguran Zara. Dia meletakkan smartphone ke dalam poket seluar. Gelas berisi air putih diambil lalu diteguknya.
Awak suka saya ya?” tanya Zara terus terang.
Tersembur keluar air yang baru diteguk oleh Tengku Muiz. Mujur sahaja tidak ada sesiapa di hadapannya. “Merepek!” Ketawa Tengku Muiz pecah. Tidak tahulah ikhlas ataupun dibuat-buat.
Muka Zara kekal serius. “Saya tidak buat lawak, jadi tidak perlulah ketawa terbahak-bahak begitu. Saya yakin awak suka saya, sebab itu awak selalu sakat saya. Sebab itu juga awak selalu ambil gambar saya.” Kesimpulan ini Zara ambil berdasarkan pembacaannya. Sebelas tip si dia menyukai kamu; begitulah tajuk artikel yang dibacanya.
Sebenarnya, bukanlah niat Zara untuk perasan Tengku Muiz ada hati dengannya. Malah, ketika tertarik untuk membaca artikel itu, langsung tidak ada nama Tengku Muiz dalam fikirannya. Namun, entah mengapa, apabila dia membaca tip nombor 10 dan 11, dia terus teringatkan layanan Tengku Muiz kepadanya.
Tip nombor 10 berbunyi begini: Adakah si dia sering meluahkan kata-kata yang menjengkelkan sehingga kamu rasa mahu tempeleng muka dia? Itu bermaksud si dia sebenarnya cuba menarik perhatian kamu, tetapi dengan cara menyakiti hati kamu.
Tip nombor 11 pula berbunyi begini: Adakah si dia sering melakukan tindakan yang menjengkelkan sehingga kamu rasa mahu tempeleng muka dia sekali lagi? Itu bermaksud si dia sebenarnya terus bergigih mahu menarik perhatian kamu, tetapi dengan cara menyakiti hati kamu.
Bukankah tip nombor 10 dan 11 ini sangat sesuai dengan apa yang berlaku? Bukan salah Zara kalau dia perasan. Salahkan penulis tip itu yang sudah menimbulkan salaha faham.
Jadi, sebenarnya awak memang suka saya, ya?” Zara pun tidak pasti kenapa dia mengulang tanya. Bukanlah dia akan melompat keriangan ataupun menangis terharu kalau Tengku Muiz mengiakan. Malah Zara tidak berminat pun mahu tahu. Sekali lagi, salahkan penulis tip kerana kesimpulannya ditulisnya yang mendorong Zara.
Kesimpulannya, tarik nafas dalam-dalam, beranikan diri. Bersemuka dan tanya sahaja kepada si dia yang menjengkelkan itu. Dapatkan kepastian adakah si dia memang suka kamu. Kalau si dia suka kamu, maka bolehlah ditimbangkan mahu balas perasaan itu, ataupun hancurkan sahaja hati dia. Kalau si dia tidak suka kamu, suruh si dia berhenti menyakat kamu kerana tindakannya tidak kelakar. Tetapi, sebenarnya, kalau dia tidak penting, abaikan sahaja. Teruskan hidup kamu dan anggap sahaja dia seperti bunyi enjin kereta yang sesekali singgah di pendengaran kamu, tetapi tidak mengganggu hidup kamu. Bukankah itu lebih mudah?
Hidup ini terlalu singkat untuk dibazirkan dengan memberi perhatian kepada orang yang tidak penting apatah lagi tiada dalam senarai lelaki soleh dan sedap mata memandang, yang mungkin sesuai dipertimbangkan menjadi suami hingga ke syurga.
Alamak, Zara lupa pula pada kesimpulan yang panjang lebar itu. Sepatutnya Zara abaikan sahaja. Bukankah Tengku Muiz tidak termasuk dalam senarai lelaki soleh dan sedap mata memandang, yang mungkin sesuai dipertimbangkan menjadi suami hingga ke syurga? Masalahnya, wujudkah senarai itu untuk Zara?
Tiba-tiba rasa hendak ke tandas. Muka Zara sudah berpeluh. Tidak tergamak mahu memikirkan jawapan Tengku Muiz. Nampaknya Zara perlu kekal serius dan teruskan juga. Kalau tidak, dia yang malu besar!
Kenapa diam? Betul, ya?” Zara tidak ada pilihan. Terus menyerang supaya pihak lawan tidak sempat membalas.
Tengku Mira yang duduk di sebelah Tengku Muiz sudah tersenyum lebar. “Betulkah awak suka Zara?”
Tengku Muiz mendengus. “Merepek.” Hanya sepatah yang dijawabnya. Suaranya kedengaran gugup. Walaupun dia cuba ketawa lagi, terasa kekok. Malu, ataupun tekaan Zara mengena?
Dalam hati, Zara sudah melonjak girang. Kalaupun tidak betul, dia terasa seperti sudah berjaya mengenakan dan memalukan Tengku Muiz. Mujur juga Tengku Muiz tidak memberikan respons yang hanya akan membuatkan Zara rasa mahu menyorok di bawah meja.
Pantas dia bersuara dengan mimik muka yang dibuat-buat sedih, “Terima kasih di atas perhatian yang awak berikan kepada saya, tetapi saya minta maaf banyak-banyak. Bukan awak orangnya... lagipun, kita muda lagi.” Di hujung kata, dia tersengih lebar lalu menyambung, “Walau apa pun yang terjadi, kita tetap bersaudara. Air yang dicencang tidak akan putus.”
Bukanlah... bukan begitu maksud saya. Awak salah faham...” Beria-ia Tengku Muiz menafikan.
Zara sudah bangun daripada kerusi. Mahu ke meja hidangan dan mengambil makanan lagi. Lebih panjang sesi itu, bimbang dia pula yang dimalukan nanti. “Tidak perlu jelaskan apa-apa. Kita anggap sahaja perbualan ini tidak pernah ada okey. Rahsia awak selamat dengan saya. Oh, saya yakin Tengku Mira pun akan simpan rahsia.”
Tengku Mira yang tersengih-sengih mengangguk kepala. “Ya, abang kesayangan hamba, tidak perlu risau. Kami akan jaga rahsia ini, seperti menjaga nyawa kami sendiri.” Ketawanya meledak. Ketawa pun kedengaran manis dan ayu? Alahai, cemburunya Zara dengan Tengku Mira.
Rancak betul berbual? Apa yang gembira sangat?” Teguran Adam buat sengihan Zara semakin melebar.
Nanti saya cerita ya,” balas Zara. Matanya sempat memandang Tengku Muiz seketika dengan pandangan yang boleh ditafsirkan sebagai; saya menang.
Merah dan terasa panas muka Tengku Muiz. Selalunya, dia yang mengenakan Zara. Kali ini, dia seperti hilang kata untuk membidas kata-kata Zara. Geram betul!
Masalahnya, kenapa dia gagal menepis tuduhan syok sendiri itu? Adakah ini bermaksud memang dia suka Zara? Tengku Muiz suka Zara? Suka yang dalam erti kata suka lelaki kepada perempuan? Suka yang konon-konon mahu hidup bersama, susah senang bersama di dunia hingga ke syurga? Suka yang itu?

Oh, Tuhan! Benarkah begitu?

6 comments:

Siti Sarah Sophia said...

Ini sambungan Kami Kembar Diraja ya? Akan diterbitkan jugakah? Oh ya, buku Kembar Diraja Popular itu gabungan Sayalah Puteri Raja, Sayalah Putera Mahkota dan Kami Kembar Diraja ya?

Sebenarnya, saya rindu mahu baca karya akak! Kali terakhir saya baca ialah novel Kamilah Kembar Diraja pada tahun 2010 atau 2011. ^_^

rozalia-rajali said...

ya ALLAH..lamanya tak update...hehehe...selamat kembali..hihihi...lepas ni kena salu update ye...

Aizam Aiman@Leeya Myra said...

Siti Sarah, terima kasih. Ya, Kembar Diraja Popular adalah kompilasi siri sayalah…

Saya akan tulis dan paparkan di blog sambungannya. Insya Allah apabila siap tulis, akan diterbitkan.

Rozalia,

Hehe… insya Allah, saya akan cuba update dengan memaparkan e-novel. Nanti baca ya!

:)

Nasrin Arisha said...

Tak sabar mahu pegang novel ini dalam versi cetak. :D Fighting!!

Anonymous said...

My Name is Helen Morgan, Daripada United Kingdom. Saya ingin berkongsi testimoni saya dengan orang ramai tentang apa yang doktor ini dipanggil Dr okojie rohani baru sahaja lakukan untuk saya, orang ini baru sahaja dikembalikan suami Ex saya kalah kepada saya dengan ejaan yang besar, saya telah berkahwin dengan seorang lelaki yang dipanggil Morgan kami telah bersama-sama untuk masa yang panjang dan kita sayangi diri kita sendiri tetapi apabila saya tidak dapat memberi kanak-kanak selama 2 tahun dia meninggalkan saya dan memberitahu saya bahawa dia tidak boleh terus lagi maka saya kini mencari cara untuk mendapatkan kembali sehingga saya melihat seorang testimoni tentang perkara ini doktor yang sama di internet mengenai bagaimana dia telah sembuh penyakit begitu banyak dan membantu orang lain dengan masalah yang sama, maka anda tidak akan percaya ini apabila saya dihubungi lelaki ini ke atas masalah saya dia bersedia musim ini dan dua hari selepas dia diberitahu saya bahawa beliau melalui dengan ejaan yang bekerja suami saya hilang kembali dengan lebih cinta di matanya, dan selepas sebulan saya terlepas bulan saya dan pergi untuk ujian dan keputusan yang dinyatakan sedang hamil am gembira hari ini adalah seorang ibu kepada seorang bayi Boy , dia berkata, saya juga akan hamil lagi jika saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi doktor yang hebat untuk apa yang anda telah lakukan untuk saya, jika anda berada di luar sana mencari mana-mana jampi atau penyembuhan:

(1) Eja untuk perlindungan dari bahaya

(2) untuk Eja sihir

(3) Eja cinta seks yang sama

(4) Eja untuk penyembuhan penyakit

(5) Eja untuk halimunan

(6) Eja untuk kekayaan dan kemasyhuran

(7) Spell untuk mendapatkan pekerjaan yang baik

(8) Eja cinta yang kuat dan hubungan

(9) Eja untuk membawa kembali bekas anda

(10) Eja untuk hamil

Anda boleh menghubungi doktor yang hebat ini pada drokojiehealinghome@gmail.com e-mel dan mendapatkan semua masalah anda diselesaikan .....

Anonymous said...

dh terbit ke blum bku ni kak?