Friday, February 18, 2011

Akhirnya!

Saya sungguh teruja. Serius. Rasa mahu melompat ke langit, namun saya hanya mampu sujud syukur.

Terima kasih, Tuhan.

Okey, saya bukan sahaja teruja, malah bermacam-macam rasa memenuhi jiwa raga saya saat ini. Semuanya bermula pada tahun 2006.

Saya menghantar kertas cadangan kepada PTS One untuk menulis Cik Serba Tahu. Cadangan diterima namun, saya gagal menyiapkannya.

Pada tahun 2009, saya merasakan sudah tiba masanya mengucapkan selamat tinggal kepada Adilah Arifin. Yalah, tanpa perpisahan tidak akan ada pertemuan baru, bukan?
Saya mahu berkenalan dan bermesra dengan watak lain pula.

Penutup bagaimana yang patut saya tulis untuk kisah Adilah?

Berfikir dan berfikir, saya memutuskan menggabungkan Adilah dengan Cik Serba Tahu lalu kertas cadangan baru pun dihantar. Adilah Cik Serba Tahu akan menjadi penebus kegagalan dahulu dan penutup kisah Adilah Arifin.

Tahun 2010 sepatutnya novel itu berada di pasaran. Masalahnya sekali lagi saya gagal menyiapkannnya.

Tahun berganti. Kali ini saya tidak mahu tewas lagi.

Dengan ini diumumkan Adilah Cik Serba Tahu sudah siap ditulis. Alhamdulillah. Saya akan menggunakan dua hari ini untuk menyemak semula tulisan saya dan menghantarnya kepada editor pada hari Isnin.

Tahun lepas, saya pernah hantar sebahagian cerita untuk dikomen, syukur, tidak ada masalah. Harapnya manuskrip penuh ini diterima oleh editor. Kalau perlu buat pembetulan pun yang ringan-ringan sahaja. Huhu.

Harapan saya, semoga Adilah Cik Serba Tahu berada di pasaran untuk menunaikan janji saya kepada pembaca.

Saya sangat bimbang novel ini kelak tidak mencapai jangkaan pembaca. Saya bimbang novel ini kelak tidak diterima baik. Namun, buat masa ini saya hanya mahu bergembira kerana sudah siap menulisnya. Nanti, apabila sudah berada di pasaran, barulah fikir hal lain-lain pula.

Doakan saya!

1 comment:

♥Hidayah♥Novelis♥ said...

InsyaAllah, novel yg bermutu pasti akan diterima oleh pembaca...

Man jadda wa jada, gud luck!